Isham Jalil dipecat kerana ganggu-gugat parti, kata Khaled Nordin


Kata Khaled Nordin, seorang ahli parti tidak boleh bercakap sesuka hati. – Gambar Facebook, 9 Disember, 2023.

KEPUTUSAN Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memecat Isham Jalil daripada parti itu kerana tindakannya yang disifatkan mengganggu-gugat parti.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata anggota parti sepatutnya menggunakan saluran yang sesuai dan betul jika mempunyai pandangan atau ketidakpuasan hati atas sesuatu perkara dalam parti.

“Saya ingat itu soal disiplin…mana-mana ahli parti ataupun mana-mana parti terutamanya Umno sekali pun sebagai sebuah parti yang besar, kita perlu pastikan tidak berlakunya tindak-tanduk seseorang ahli yang menggugat parti ataupun yang bercakap sesuka hati,” katanya kepada pemberita di Kota Tinggi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat MT Umno pada 6 Disember lepas bersetuju memecat Isham daripada parti dipercayai susulan kritikannya terhadap Umno yang dilihat bertentangan dengan pendirian parti sebelum ini dalam usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Isham akan menerima surat berkaitan status keahliannya dalam parti itu pada masa terdekat.

Sementara itu, mengulas pelantikan Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang baharu Khamis lepas bagi menggantikannya, Mohamed Khaled berharap Menteri Besar Johor itu dapat mengimbangi tugas dan tanggungjawab selain terus menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan dan parti.

“Saya ucapkan tahniah kepada Onn Hafiz. Memang wajarlah kerana selama di Johor siapa yang menjadi menteri besar dia sepatutnya juga ambil tanggungjawab untuk menjadi pengerusi badan perhubungan,” kata Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi. – Bernama, 9 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen