Amal kawalan kendiri cegah Covid-19, kata Zahid


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan rakyat supaya mengamalkan amalan kawalan kendiri untuk mencegah Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2023.

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menasihatkan rakyat supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berkata walaupun statistik peningkatan jangkitan Covid-19 yang dilaporkan adalah pada tahap ringan, namun langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman tetap perlu diberikan perhatian.

“Saya ingin menasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan kawalan kendiri seperti kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pensanitasi tangan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus ini kepada diri anda dan juga keluarga.

“Semoga seluruh rakyat Malaysia dilindungi daripada musibah penyakit COVID-19 ini, insya-Allah,” katanya.

Pada Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sebanyak 3,626 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 Nov lepas, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya. – Bernama, 9 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen