5 individu beri keterangan bantu siasatan kes bunuh Zayn Rayyan


Mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin,6, ditemui di sungai berhampiran rumahnya, kes bunuh itu mengemparkan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2023.

POLIS sudah mengambil keterangan daripada lima individu termasuk ibu bapa budak lelaki autistik berusia enam tahun yang dibunuh kejam, Zayn Rayyan Abdul Matiin. 

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, polis juga akan mengambil keterangan beberapa jiran dan pihak sekolah mangsa untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk ibu bapa mangsa. Siasatan masih berjalan dan polis juga akan memanggil beberapa jiran di kawasan berkenaan dan pihak berkuasa sekolah mangsa,” katanya dipetik akhbar The New Straits Times.

Zayn adalah pelajar SK Damansara Damai 2.

Individu pertama yang menemui mayatnya adalah antara lima orang yang sudah memberi keterangan.

Hussein menjelaskan yang siasatan masih berlangsung apabila ditanya tentang kemungkinan terdapat lebih seorang suspek terlibat dalam pembunuhan itu.

“Kami meneroka sebarang kemungkinan termasuk kemungkinan mangsa mengenali suspek,” katanya.

Sebelum ini, pemeriksaan forensik dilakukan di Hospital Sungai Buloh mendapati kesan kecederaan di leher dan badan Zayn Rayaan, dipercayai kesan tindakan jenayah.

Susulan itu, kes itu yang diklasifikan sebagai kematian mengejut diklasfikasikan semula sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada jam 12.30 tengahari pada Selasa lepas sebelum ibunya membuat laporan polis dan menghebahkannya di media sosial.

Selepas lebih 30 jam dilaporkan hilang, mayatnya ditemui berhampiran sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Blok R, Apartmen Idaman, Damsanara Damai pada jam 10 malam, semalam. – 9 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen