SYARIKAT Kanada First Quantum Minerals pada Jumaat berkata ia membuang lebih 4,000 pekerja selepas mahkamah mengharamkannya mengoperasikan lombong tembaga terbuka terbesar di Amerika Tengah.
Anak syarikat itu di Panama dalam kenyataan akhbar berkata ia “terpaksa meminta kebenaran untuk menamatkan kontrak lebih 4,000 orang pekerja kerana sebab ekonomi” daripada Kementerian Buruh.
Syarikat itu yang pada minggu lepas turut mengumumkan hasratnya membekukan kontrak pekerjaan 7,000 pekerjanya, berkata pekerjaan tertentu akan dikekalkan bagi menjamin “keselamatan fasiliti dan mengelak kerugian atau kemusnahan alam sekitar di dalam kawasan lombong.”
Selain 7,000 pekerjaan secara langsung, operasi lombong itu juga menjana hampir 33,000 pekerjaan lain.
Dewan perwakilan Panama pada Oktober meluluskan -sehingga 40 tahun- konsesi kontrak untuk operasi lombong gergasi itu mencetuskan demonstrasi besar-besaran dan sekatan jalan oleh kumpulan alam sekitar dan pergerakan sivil lain.
Mahkamah Agung bagaimanapun mengisytiharkan undang-undang mengikat kontrak itu sebagai “tidak berpelembagaan”. Presiden Panama Laurentino Cortizo yang dikritik kerana “tidak bertindak” terhadap protes akhirnya menjanjikan “penamat terbaik” untuk penutupan lombong itu.
Terletak 240 kilometer dari ibu kota Panama, lombong terbuka itu mengeluarkan hampir 300,000 tan tembaga konkrit setiap tahun sejak 2019, mewakili 79% eksport Panama dan lima peratus KDNK negara itu.
First Quantum Minerals berkata kontrak yang baru diperbaharui menyumbang sekurang-kurangnya AS$375 juta setahun kepada negara, sepuluh kali ganda berbanding perjanjian sebelumnya pada 1997.
FQM memulakan prosiding di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa “bagi menguatkuasa haknya” di bawah perjanjian ditandatangani dengan kerajaan Panama pada 2023.
Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa adalah badan berkecuali Dewan Perniagaan Antarabangsa beribu pejabat di Paris. Jika negara Amerika Tengah itu kalah dalam kes itu, ia mungkin terpaksa membayar berbilion pampasan. – AFP, 9 Disember, 2023.
Komen