BERPULUH orang negara ahli Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menghantar draf resolusi pada Jumaat menggesa Israel menghormati tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi pekerja kemanusiaan di Gaza.
Konflik di Gaza tercetus selepas Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh kira-kira 1,200 orang menahan ratusan lagi, 139 orang kekal ditahan, menurut laporan Israel.
Serangan balas Israel menerusi udara dan darat di Gaza telah membunuh 17,487 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Teks draf resolusi itu dijangka disemak pada Ahad semasa sesi khas Lembaga Eksekutif WHO yang berkumpul untuk membincangkan “situasi Kesihatan di wilayah Palestin yang dijajah”.
Ia dicadangkan oleh Algeria, Bolivia, China, Mesir, Indonesia, Iraq, Jordan, Lubnan, Malaysia, Morocco, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Tunisia, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman.
Wakil Palestin di WHO memegang status pemerhati turut menandatangani draf resolusi itu.
Negara ahli meluahkan “kebimbangan mendalam mereka tentang situasi kemanusiaan yang membinasa di wilayah Palestin yang dijajah, termasuk timur Baitulmaqdis, terutama sekali dengan operasi ketenteraan di Tebing Gaza”.
Mereka menggesa Israel untuk “menghormati dan melindungi” pekerja kesihatan dan kemanusiaan yang secara ekslusif melakukan kerja-kerja perubatan, serta hospital dan fasiliti perubatan lain.
Jurucakap WHO Christian Lindmeier pada Jumaat memberitahu wartawan yang sistem kesihatan Gaza sudah lumpuh dan tidak lagi mampu kehilangan ambulans atau hospital lagi.
“Situasi semakin buruk setiap hari, sangat-sangat sukar dipercayai,” katanya.
Agensi kemanusiaan PBB, OCHA pada lewat Khamis berkata hanya 14 daripada 36 hospital di Tebing Gaza masih beroperasi. – AFP, 9 Disember, 2023.
Komen