Penganalisis BNM nafi bersekongkol dengan SPRM semasa sediakan laporan 1MDB


Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2023.

PEGUAM utama bekas Perdana Menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah menuduh penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan ‘tidak bebas’ dan bersekongkol dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa membuat laporan mengenai jejak wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tuduhan itu dibuat pada perbicaraan berhubung penyelewengan RM2.3 bilion 1MDB yang didakwa masuk ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun Adam Ariff menafikan dia ‘bersubahat’ dengan SPRM ketika menyediakan laporan jejak wang berkenaan yang menunjukkan aliran dana 1MDB masuk ke dalam akaun bank Najib.

Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata beliau dipinjamkan ke agensi antirasuah itu bagi membantu agensi berkenaan mengesan dana yang berasal daripada 1MDB.

Beliau menegaskan dana itu berakhir dalam akaun bank Najib dan menafikan pegawai penyiasat SPRM Nur Aida Arifin memberitahunya untuk “berbohong” dalam laporannya.

Muhammad Shafee: Dari 2018 hingga sekarang, adakah anda bersetuju bahawa anda menjadi SPRM, mentaliti anda menjadi SPRM, anda tidak kekal bebas? Adam Ariff menjawab “Saya tidak setuju”.

Semasa prosiding hari ini, Muhammad Shafee berkali-kali cuba mencabar jejak wang Adam Ariff mengenai berbilion ringgit yang memasuki akaun bank peribadi Najib di AmBank dan mencadangkan Adam Ariff kekurangan semua dokumen bank yang diperlukan untuk membuktikan semua jejak dana dalam akaun Najib boleh dikesan kembali kepada 1MDB dan anak syarikatnya.

“Semua dokumen bank yang dirujuk dalam perbicaraan 1MDB adalah mencukupi untuk menunjukkan wang milik 1MDB atau anak syarikat 1MDB sebenarnya dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib,” kata saksi itu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung pada 15 Disember ini. – Bernama, 8 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen