LEBIH 750 kakitangan akhbar The Washington Post meninggalkan tugas masing-masing selama 24 jam pada Khamis untuk menyertai mogok terbesar di syarikat itu dalam tempoh 48 tahun, lapor Sputnik.
Pekerja The Post berkata punca utama bantahan itu ialah kerana kegagalan syarikat menandatangani kontrak dengan pekerja sejak 18 bulan lepas selain rundingan menemui jalan buntu apabila pekerja menolak tawaran pembelian oleh pengurusan bagi menjimatkan kos syarikat dengan ugutan mereka akan diberhentikan jika tidak bersetuju, menurut laporan.
Mengena isu gaji, wartawan menuntut bayaran minimum AS$100,100 manakala tawaran terbaru akhbar itu hanya sebanyak AS$73,000.
“Gaji kami tidak mengikut inflasi atau mengikut pesaing kami,” kata sorang pekerja, Sarah Kaplan.
Beliau berkata ramai pekerja telah meninggalkan syarikat untuk bekerja dengan organisasi media lain.
Sementara itu, pegawai syarikat berkata mereka menghormati hak pekerja dan berharap dapat menandatangani kontrak menjelang akhir tahun, sambil menambah bahawa mogok itu tidak mengganggu operasi akhbar berkenaan.
Mogok berlaku ketika syarikat akhbar itu menghadapi cabaran berkaitan kepimpinan dalaman dan masalah ekonomi dalam industri media global.
The Washington Post melaporkan bahawa selepas pertumbuhan pesat di bawah pemilikan pengasas Amazon Jeff Bezos, syarikat itu dijangka kerugian kira-kira AS$100 juta tahun ini dan bersedia untuk melaksanakan pemberhentian kira-kira 240 pekerja secara sukarela atau kira-kira 10% daripada jumlah pekerja.
Bantahan besar-besaran petugas The Washington Post sebelum ini berlaku pada 1975 selama 20 minggu dengan pekerja gantian diupah untuk memastikan akhbar itu terus beroperasi. – Bernama, 8 Disember, 2023.
Komen