Kerajaan perpaduan selesaikan banyak isu MA63, lebih pantas, kata PM


Perdana Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom, Sabah. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 7 Disember, 2023.

BIARPUN baru setahun mentadibir negara, kerajaan perpaduan telah berjaya menyelesaikan lebih pantas dan banyak perkara yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berbanding sebelum ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata pelbagai langkah diambil bagi merealisasikan perkara itu, antaranya beliau mengarahkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mempengerusikan mesyuarat melibatkan MA63 bagi menyegerakan perlaksanaan perkara-perkara yang berkaitan.

Katanya untuk Sabah sendiri banyak perkara dalam MA63 telah berjaya diselesaikan, antaranya pengembalian semula kuasa pengurusan bekalan elektrik kepada kerajaan Sabah dan kuasa meluluskan projek kecil diserah kepada negeri ini.

“...dalam tempoh setahun ini kita selesaikan lebih pantas berbanding puluhan tahun sebelumnya…saya jelaskan kerana ada tokoh politik di Sabah gunakan cerita ini untuk tarik minat orang Sabah, guna sentimen. Kalau ada fakta saya tiada masalah tetapi kalau putar belit saya terpaksa jawab,” katanya di Tenom hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom. Empangan itu dijangka siap pada 2029 dengan kos RM4 billion, dan ia mempunyai kapasiti pembekalan elektrik 187.5 megawatt.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Jeffrey Kitingan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali. – Bernama, 7 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen