3 maut insiden tembakan rambang di universiti Las Vegas


Petugas kecemasan dan penguatkuasa undang-undang kelihatan di luar Universiti Nevada, Las Vegas, susulan insiden tembakan rambang di situ. – Gambar AFP, 7 Disember, 2023.

SERAMAI tiga orang terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden tembakan rambang di Universiti Nevada, Las Vegas di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Suspek turut terbunuh selepas dipercayai berbalas tembak dengan polis.

Ketua polis universiti Adam Garcia berkata pihak berkuasa menerima panggilan mengenai seorang penembak aktif pada 11.45 pagi waktu tempatan (1945GMT), lapor Agensi Anadolu.

Terdahulu Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas berkata suspek “telah dikesan dan telah meninggal dunia” selepas beberapa orang cedera di kampus.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana suspek itu meninggal dunia.

Polis dalam satu hantaran di X berkata mereka berjaya menumpaskan suspek.

Syerif Kevin McMahill berkata tiada lagi ancaman yang berpunca daripada tembakan itu.

Menurut beliau motif serangan masih tidak diketahui dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di sebuah hospital tempatan.

Sementara itu McMahill dijangka mengadakan satu sidang media pada lewat Rabu. – Bernama, 7 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen