PELABUR Berjaya Food Bhd (BF) digesa menjual saham mereka dalam firma itu selepas pemeriksaan di outlet utamanya, Starbucks, menunjukkan sekurang-kurangnya jatuh 30% trafik pelanggan akibat pemboikotan syarikat berkaitan Israel susulan konflik berterusan di Gaza.
Penyelidikan RHB mengesyorkan “Jual” selepas menganggarkan perniagaan harian Starbucks menurun sebanyak 30- 40% daripada tinjauannya ke beberapa cawangan Starbucks Coffee di pusat beli-belah pada waktu puncak, lapor Business Times (BT).
BT berkata Starbucks menyumbang 91% daripada hasil kumpulan itu bagi suku pertama tahun kewangan 2024.
Dalam nota penyelidikan RHB dikeluarkan semalam, keadaan itu lebih teruk daripada yang dijangkakan, dan ia mungkin memaksa Starbucks lebih agresif dalam promosinya untuk menarik pengguna kembali.
Promosi secara berperingkat, tambah firma penyelidikan itu, bermakna penyusutan margin keuntungan kasar Starbucks.
Laporan BT juga menyatakan Starbucks menurunkan ramalannya untuk tahun kewangan 2024-2026 keuntungan bersih sebanyak 21, 17 dan 7% “selepas mengecilkan lagi pertumbuhan jualan dan andaian margin keuntungan kasarnya bagi mencerminkan jualan yang lemah, peningkatan usaha promosi, dan usaha menangani kesan boikot”.
Penyelidikan RHB juga mengurangkan harga sasarannya untuk BFood sebanyak 24% kepada 46 sen.
Semalam, saham BFood ditutup pada harga 59.5 sen sesaham.
“Unjuran kami untuk BFood berubah kepada waspada, kerana boikot Starbucks Coffee yang berterusan boleh berlaku lebih lama daripada apa yang kami jangka pada mulanya, jika tiada penyelesaian jangka pendek kepada konflik Israel-Hamas,” kata RHB dalam laporannya.
“Selain itu, pemulihan selepas boikot mungkin tidak mudah dan ia mungkin memerlukan banyak usaha untuk mendapatkan semula bahagian pasarannya, memandangkan persaingan yang sengit,” tambahnya.
Kementerian Ekonomi pada 28 November berkata rakyat Malaysia yang memilih untuk memboikot syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel sebagai menunjukkan sokongan kemanusiaan terhadap Palestin tidak mempunyai kesan ketara kepada ekonomi negara.
Kementerian berkata ini memandangkan sumbangan keseluruhan subsektor makanan dan minuman(F&B) kepada KDNK negara adalah kecil pada 2.4%.
“Bagaimanapun, kerajaan sedar boikot itu menjejaskan pekerja yang terlibat dalam sektor itu,” katanya.
Kementerian berkata, dianggarkan 50,000 pekerja diambil bekerja oleh syarikat yang dikaitkan dengan boikot sektor F&B. – 7 Disember, 2023.
Komen