AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil dipecat selepas mengingkari arahan presiden parti dan juga ekoran kritikannya terhadap parti dan juga presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
Laporan Berita Harian menyebut, MKT memutuskan demikian pada malam tadi tanpa kehadiran Isham.
Mesyuarat dua jam yang dipengerusikan Zahid itu turut dihadiri timbalannya, Mohamad Hasan serta tiga naib presiden, menurut laporan itu.
Ia turut turut memetik kenyataan beberapa anggota MKT mengkritik tindak-tanduk Isham yang dianggap membelakangkan parti.
Antaranya, Mohd Razlan Muhammad Rafii yang menyifatkan Isham seolah-olah sengaja mengundang tindakan ke atas dirinya sendiri.
“Bila dia sengaja mengundang untuk diambil tindakan, kalau mahu tindakan itu diambil untuk mempopularkan dia, itu satu tindakan yang tak bertanggungjawab,” katanya.
Zahid semalam mengarahkan Isham hadir ke mesyuarat MKT selepas bekas ketua penerangan Umno itu sudah tiga kali tidak muncul ke mesyuarat.
Isham antara pemimpin parti yang menolak kerjasama Umno dengan DAP walaupun selepas kerajaan perpaduan ditubuhkan pada 2022. – 7 Disember, 2023.
Komen