2 warga AS didakwa bunuh taikun Kanada


DUA warga Amerika Syarikat (AS) didakwa membunuh pelopor animasi dan dermawan Quebec, Daniel Langlois dan pasangannya di kepulauan Dominica, kata polis.

Mayat Langlois dan Dominique Marchand ditemui terbakar dalam sebuah kereta pada Jumaat, berhampiran Gallion iaitu kawasan selatan pulau kecil Caribbean itu.

Kedua-dua mangsa yang mempunyai sebuah hotel di pulau itu dilaporkan hilang beberapa hari sebelum itu.

“Dua rakyat AS, Jonathan Lehrer dan Robert Snider, kini dalam tahanan dan akan didakwa atas kesalahan membunuh,” kata jurucakap polis Dominica.

Motif pembunuhan belum didedahkan.

Snider dan Lehrer, yang bekerja sebagai kontraktor dan juga jiran kepada mangsa, dibawa ke Mahkamah Majistret Roseau pagi semalam.

Langlois menempa kejayaan selepas membangunkan perisian animasi 3D untuk syarikatnya, Softimage, yang kemudian digunakan dalam filem Hollywood seperti “Jurassic Park”, “Star Wars” dan “The Matrix”.

Pada 1994, beliau menjual syarikatnya kepada Microsoft. – AFP, 7 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen