13 marin Filipina maut dalam pertempuran di Marawi


Sehingga kini, sekurang-kurangnya 58 tentera Filipina, 138 militan dan 20 orang awam terbunuh dalam pertempuran di Marawi. – Gambar EPA, 10 Jun, 2017.

SERAMAI 13 anggota marin Filipina terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan militan yang menguasai sebahagian bandar Marawi, kata jurucakap tentera hari ini.

Ia adalah lonjakan dramatik dalam jumlah kematian sejak pertempuran sengit dua minggu lalu.

Tentera Filipina sedang bergelut mengusir ratusan pejuang yang mengamuk di bandar yang mempunyai majoriti penduduk Islam yang pada 23 Mei mengibarkan bendera hitam kumpulan militan Islamic State (IS), dan menggunakan terowong kalis bom, senjata anti-kereta kebal dan perisai manusia untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Leftenan Kolonel Jo-ar Herrera berkata, pihak tentera mengesahkan bilangan anggota yang cedera dalam pertempuran semalam.

“Kami sedih dengan hasil keputusan itu…ada kematian di pihak kerajaan. Kami mempunyai 13 terbunuh dalam pertempuran,” kata Herrera pada sidang akhbar di Marawi.

Mangsa terbaru itu menambah jumlah 58 tentera kerajaan terbunuh dalam pertempuran berkenaan, kata Herrera.

Sekurang-kurangnya 138 militan dan 20 orang awam juga terbunuh, kata kerajaan.

Pihak militan setakat ini bertahan lebih dua minggu dengan pertahanan pasukan udara dan darat, walaupun pihak tentera berkata mereka hanya menduduki sekitar 10% daripada bandar. – AFP, 10 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen