SEKURANG-KURANGNYA 12 maut akibat hujan lebat di negeri Tamil Nadu di selatan India dalam tempoh dua hari apabila Taufan Michaung membadai di pantai Andhra Pradesh pada petang semalam.
Pasukan penyelamat menggunakan bot nelayan dan traktor ladang untuk memindahkan orang ramai dari kawasan banjir di Chennai, ibu kota Tamil Nadu.
Kehidupan penduduk di Chennai dan daerah sekitarnya terjejas manakala perkhidmatan pengangkutan terhenti akibat banjir.
Angka kematian akibat kejadian berkaitan hujan meningkat kepada 12 orang pada Selasa, lapor media tempatan.
Beribu-ribu orang di Tamil Nadu dan Andhra Pradesh dipindahkan dari kawasan yang dinaiki air ke tempat perlindungan sementara.
Lapangan terbang Chennai terpaksa menghentikan operasi pada Isnin selepas ditenggelami air.
Penerbangan disambung semula pada pagi Selasa.
Puluhan penerbangan dan lebih 100 perkhidmatan kereta api dibatalkan di Andhra Pradesh ketika taufan membadai pada petang Selasa dengan kelajuan angin sehingga 100 km sejam. – Bernama, 6 Disember, 2023.
Komen