TENTERA Israel bertempur dengan pejuang Hamas di selatan Gaza semalam, di mana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keadaan akan bertambah buruk di wilayah yang dikepung zionis itu.
Selepas serangan udara dan darat yang menyebabkan ratusan ribu rakyat Palestin hilang tempat tinggal dan utara Gaza musnah teruk, Israel kini membawa masuk kereta kebal dan tentera ke bahagian selatan, termasuk di bandar kedua terbesar Khan Yunis.
Israel berkata matlamatnya adalah memusnahkan Hamas dan membebaskan tebusan yang ditawan dalam serangan 7 Oktober.
Kereta kebal Israel, dipandu anggota lengkap bersenjata dan jentolak kelihatan berhampiran Khan Yunis, menyebabkan penduduk Gaza yang lari mencari tempat perlindungan, terpaksa melarikan diri sekali lagi, kata saksi.
Kementerian kesihatan Hamas berkata 25 maut dalam satu serangan di sebuah sekolah di mana penduduk sedang berlindung di situ.
Ambulans, trak dan kenderaan lain digunakan untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital Nasser, di Khan Yunis, termasuk kanak-kanak.
Israel isytihar perang terhadap Hamas selepas kumpulan pejuang itu melakukan serangan balas pada 7 Oktober yang menyebabkan 1,200 orang terbunuh, kebanyakan orang awam dan 240 tebusan ditahan.
Tetapi hingga kini, rakyat Palestin yang terbunuh melebihi 20,000 dibunuh tentera Israel. – AFP, 6 Disember, 2023.
Komen