KERAJAAN Perak dan persekutuan sedang memantau dan mencari kaedah terbaik bagi mengelak hasil daripada projek unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Besar Saarani Mohamad berkata proses mengeluarkan NR-REE tidak sukar sebagaimana melombong bijih timah, maka sudah pasti terdapat kebimbangan proses pengeluaran NR-REE itu tidak terkawal.
Beliau berkata kerajaan negeri akan membangunkan langkah untuk mengesan perbuatan tidak bermoral itu, selain langkah menghalang pihak tidak bertanggunjawab daripada mengeksport hasil NR-REE dengan perisytiharan secara salah dan langkah keselamatan yang melibatkan undang-undang serta akta.
“Kerajaan negeri dan persekutuan, kita sedang berusaha untuk mengadakan bengkel bagi membangunkan satu kaedah bagaimana kita nak mengesan, menangkap, bagaimana kita nak menghukum orang yang buat perbuatan tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh, hari ini.
Saarani berkata demikian menjawab soalan tambahan Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting) yang ingin tahu langkah kerajaan mengesan tanah di Perak dengan NR-REE yang boleh dikawal supaya tiada kemasukan lombong haram dan langkah keselamatan supaya hasil bumi berkenaan tidak dicuri.
Sementara itu, Saarani berkata kadar royalti yang dikenakan kepada pihak penggerak projek adalah sebanyak 12% daripada harga jualan NR-REE di negeri ini.
“Setakat September 2023, pihak penggerak projek menjelaskan bayaran royalti sebanyak hampir RM21.12 juta (RM21,119,381.38) melalui pengeksportan nadir bumi karbonat (REC) ke China.
“Selain itu, kerajaan tempatan melalui Majlis Daerah Gerik turut mengutip hasil melalui fi-fi yang berkaitan dengan kelulusan kebenaran merancang (KM) yang dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan NR-REE berkenaan,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) berkenaan kesan NR-REE di Kenering, Gerik kepada penambahan pendapatan kerajaan Perak.
Sementara itu pada sidang media, Saarani berkata kerajaan Perak telah membuat laporan polis berkenaan perbuatan mencuri hasil NR-REE oleh pihak tidak bertanggungjawab, namun beliau tidak mendedahkan jumlah laporan yang dibuat setakat ini.
Menurut Saarani laporan akan dibuat setiap kali pihaknya mendapat maklumat berkaitan perbuatan itu, justeru beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan hasil NR-REE di mana-mana kawasan dalam negeri kerana ia merupakan satu kesalahan.
“Kita ingatkan kepada orang ramai yang saya tahu sekarang ini ramai berpusu-pusu ke Hulu Perak dengan macam-macam cara, kita (kerajaan negeri) nak beritahu kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan NR-REE itu tanpa terlebih dahulu mendapat pajakan melombong walaupun tanah sendiri.
“Kemudian harus diingat bahawa kementerian telah buat keputusan tidak boleh dijual (NR-REE) secara mentah, jadi mana nak simpan melainkan dia terpaksa jual kepada orang tengah yang akan eksport secara menipu. Ini satu kesalahan serius kepada mana-mana orang yang cuba melanggar apa yang telah diumum kerajaan persekutuan,” katanya.
Terdahulu, pada sidang media itu beliau turut mengumumkan dana sebanyak RM2.67 juta bagi meneruskan program bantuan makanan percuma kepada calon peperiksaan utama pada tahun ini menerusi pelaksanaan inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).
Program itu, katanya dijangka memanfaatkan 26,628 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) daripada 238 sekolah di Perak. – Bernama, 5 Disember, 2023.
Komen