RATUSAN penyelamat Indonesia bergegas pada Selasa mencari 12 pendaki yang hilang selepas letusan gunung berapi mengorbankan 11 nyawa.
Pendaki yang maut ditemui [ada Isnin berhampiran kawah Gunung Marapi di pulau Sumatera, manakala yang lain ditemui hidup dan dibawa turun dalam usaha menyelamat sukar disebabkan letusan susulan dan cuaca buruk.
Gunung berapi itu meletuskan abu setinggi 3,000 meter (9,800 kaki)—lebih tinggi daripada gunung berapi itu sendiri—ke udara pada Ahad.
“Pagi ini kami akan mengerahkan kira-kira 200 anggota, di samping anggota yang memang berada di sana. Sehingga kini lima mayat berjaya dibawa turun,” kata Hendri, ketua operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, memberitahu AFP pada Selasa.
“Gunung berapi masih meletus,” katanya.
Beliau berkata 12 pendaki masih hilang setakat pagi Selasa dan enam mayat masih perlu dikeluarkan, dengan lima dibawa turun gunung untuk pengecaman.
Pasukan penyelamat akan mencuba pemindahan secara manual apabila boleh, berjalan ke puncak gunung berapi dan memindahkan mangsa menggunakan pengusung kerana letusan susulan dan jarak penglihatan yang terhad, kata Hendri.
Ahmad Rifandi, ketua pos pemantau Marapi, memberitahu AFP pada Selasa beliau berkata lima letusan dari tengah malam hingga 8 pagi waktu tempatan (0100 GMT).
“Marapi masih sangat aktif. Kami tidak dapat melihat ketinggian lajur kerana dilitupi awan,” katanya.
Abdul Malik, ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang memberitahu pemberita pada Isnin tiga pendaki ditemui selamat di atas gunung selepas letusan itu cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan perubatan.
Ketua agensi vulkanologi Indonesia, Hendra Gunawan, berkata Marapi berada di tahap kedua sistem amaran empat peringkat sejak 2011, dan zon pengecualian 3km dikenakan di sekitar kawahnya.
Beliau berkata pendaki kerana pergi terlalu dekat dengan kawah, berkata agensi itu tidak mengesyorkan aktiviti manusia di zon itu, dan menegaskan “kesan teruk” dilaporkan dialami mangsa dalam jarak satu hingga 1.5km dari kawah.
Pegawai berkata pendaki mendaftar melalui sistem tempahan dalam talian, tetapi yang lain mungkin melalui gunung secara haram.
Waris masih menunggu maklumat terkini di pusat maklumat di kaki gunung.
“Saya akan tinggal di sini sehingga mendapat berita,” kata Dasman, bapa kepada pendaki yang hilang Zakir Habibi, yang memandu selama dua jam dari bandar Padang ke kaki gunung malam tadi dengan penuh harapan.
“Saya masih berharap anak saya terselamat,” katanya pada Isnin.
Pencarian akan diteruskan selama tujuh hari, kata pegawai penyelamat.
Mereka yang terbunuh melecur teruk dan pekerja forensik bersedia mengenal pasti mayat melalui rekod pergigian dan cap jari, atau berdasarkan tanda pada badan mereka, kata Eka Purnamasari, seorang pegawai dari unit perubatan polis Sumatera Barat.
Gunung Marapi, yang bermaksud “Gunung Api”, adalah gunung berapi paling aktif di pulau Sumatera.
Indonesia mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di “Lingkaran Api” Pasifik, dengan plat tektonik bertembung.
Negara kepulauan ini mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif. – AFP, 5 Disember, 2023.
Komen