PRK Kemaman bukan referendum kerajaan perpaduan, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata peratusan keluar mengundi yang lemah dalam kalangan penyokong BN telah menyumbang kepada kekalahan besar itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2023.

KEKALAHAN besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kemaman Sabtu lalu bukanlah referendum mengenai kerajaan perpaduan, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu turut menyangkal dakwaan sokongan kepada PAS meningkat dalam pilihan raya kecil itu dan berkata peratusan keluar mengundi yang lemah dalam kalangan penyokong BN telah menyumbang kepada kekalahan besar itu.

“Kita tidak boleh menganggap ia referendum (menentang kerajaan perpaduan), kerana ia hanya bulatan kecil di Kemaman.

“Mustahil untuk mengandaikan undi daripada 141,000 orang di Kemaman diterima sebagai pungutan suara. Jadi, kita harap mereka (PAS) tidak berkhayal,” katanya yang dipetik pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata 31.7% penyokong setia BN gagal mengundi pada Sabtu lalu.

“Tiada peningkatan sokongan kepada PAS tetapi kira-kira 10,000 pengundi BN, khususnya pengundi Umno, tidak keluar mengundi.”

Beliau berkata ini adalah sebab mengapa undi PAS meningkat pada pilihan raya kecil itu.

Pada PRK Sabtu lalu, calon PAS Ahmad Samsuri Mokhtar mendapat 64,998 undi, menewaskan calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (27,778 undi).

Samsuri mendapat 70% daripada undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas mahkamah pilihan raya Terengganu pada 26 September memutuskan untuk membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Ahad lalu, Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani berkata Majlis Tertinggi parti akan melihat semula kekalahan BN kepada Perikatan Nasional.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk memastikan puncanya kerana ia masih belum mendapat butirannya.

“Dalam mesyuarat itu, kita akan meneliti bagaimana kita boleh berdepan kekalahan yang lebih ketara berbanding pilihan raya umum ke-15. Kita perlu mengkajinya dengan teliti.

“Majlis akan menyemak keputusan semalam secara mendalam,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan The New Straits Times hari ini. – 4 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen