Undi Dr Sam, calon ‘PM’ patut lebih tinggi


G Manimaran

PILIHAN raya kecil (PRK) Kemaman yang berlangsung Sabtu lalu merupakan yang terakhir untuk tahun ini. Setakat ini belum ada kekosongan mengejut yang memerlukan satu lagi PRK diadakan dalam tempoh tiga minggu sebelum 2023 menurut tirai.

Enam PRK telah diadakan pada tahun ini. Empat daripadanya membabitkan kerusi-kerusi yang telah dipertandingkan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Keputusan rasmi menunjukkan PAS, anggota komponen Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan logo sendiri, berjaya mengekalkan penguasaan di Kemaman apabila calonnya Ahmad Samsuri Mokhtar atau lebih dikenali sebagai “Dr Sam” menang dengan majoriti 37,220 undi.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, yang julung kali diturunkan dalam pilihan raya oleh Umno, mengumpulkan sebanyak 27,778 undi.

Majoriti Samsuri meningkat besar apabila undi yang diperoleh Mohamed Affandi menurun hampir 11,000. PAS mengekalkan hampir kesemua undi yang diperoleh setahun yang lalu. BN pula mengalami penurunan dengan ketara, antara lain ramai penyokongnya bekerja di luar kawasan dan membuat andaian undi mereka tidak akan mengubah keadaan dan kedudukan mana-mana parti. Malah ikatan politik kerajaan perpaduan dilihat tidak menjadi di Kemaman berbanding di Pelangai, Pulai dan Simpang Jeram.

Jentera BN diyakini tidak berhadapan dengan masalah sabotaj, tetapi dikatakan telah gagal dalam menyampaikan mesej degan jelas dan efektif kepada pengundinya. Pendekatan komunikasi sekali gagal di peringkat BN. Sebaliknya, PN pula menggunakan rangkaian politik dengan cukup baik untuk mempertahankan kerusinya.

Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang merekodkan majoriti sebanyak 27,179 undi satu tahun  lalu. Jumlah undi yang diterima dalam PRK Kemaman ialah 92,776 atau bersamaan dengan 65.76% daripada keseluruhan 141,790 pengundi berdaftar.

Semasa PRU15 yang diadakan pada 19 November 2022, setahun yang lalu, Che Alias mempertahankan kerusi Kemaman apabila menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said dengan memperoleh majoriti 27,179 undi. Che Alias memperoleh undi 65,714 undi ketika itu manakala Ahmad pula 38,535 undi.

Bagaimanapun, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis menerima dakwaan pempetisyen bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

PAS meletakkan strategi yang cukup berkesan dengan menurunkan Dr Sam di Kemaman. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang, salah satu kerusi di kawasan Parlimen Marang, sejak tahun 2018, untuk menghadapi BN, salah satu gabungan dan parti yang menganggotai kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

PAS dilihat membuat keputusan itu untuk memastikan ia boleh menang besar dan mengekalkan kerusi yang dimenangi pada tahun 2018 dan 2022. PAS juga sudah menjangkakan akan berhadapan dengan saingan besar mengambil kira pengalaman PRK kerusi Pulai, DUN Simpang Jeram dan DUN Pelangai.

Meskipun PAS memutuskan untuk tidak membuat rayuan ke atas keputusan mahkamah dua bulan lalu, ia tidak mahu mengambil mudah semasa PRK. Begitu juga apabila mahkamah membatalkan keputusan bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Julai lalu.

PN bukan sahaja menurunkan calon ‘heavyweight’ untuk mengharungi saingan PRK Kemaman, tetapi mahu memastikan bahawa ia menang besar pada 2 Disember.

Samsuri merekodkan kemenangan bersih seratus peratus di Terengganu apabila mengemudi partinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu. Rekod itu dicapai selepas satu penggal beliau menerajui kerajaan negeri.

Kini Samsuri tersenarai sebagai antara ketua menteri dan menteri besar yang memegang kedua-kedua kerusi peringkat DUN dan Dewan Rakyat. Yang lain termasuklah ketua menteri Pulau Pinang dan kedua-dua menteri besar Selangor dan Negeri Sembilan. Semuanya mewakili PH.

Samsuri memperoleh lebih 64,000 undi berbanding rakannya Che Alias yang mendapat lebih 65,000 undi pada November 2022. Kali ini, PN semasa kempen PRK, menggambarkan Samsuri sebagai calon perdana menteri dan bakal mengubah kerajaan persekutuan.

PN kekal memainkan sentimen bahawa kerajaan persekutuan bakal berubah, dan kemenangan di Kemaman adalah laluan kepada usaha mereka mengambil alih Putrajaya. Pengundi di Kemaman tertarik dengan kempen itu.

Dalam ucapan kemenangan, Samsuri menegaskan bahawa beliau tidak pernah sesekali terlintas dan bercita-cita untuk menjadi perdana menteri. Bagaimanapun, beliau sedia mempertimbangkannya pada masa akan datang jika diberi amanah oleh parti dan rakyat.

Mengulas lanjut beliau berkata: “Sudah banyak kali saya ditanya tentang perkara ini tapi saya nak beritahu, ia bukanlah target untuk mendapatkan jawatan apabila menyertai politik. Tapi, jika sampai satu masa, saya sedia mempertimbangkannya jika diberi amanah oleh parti dan rakyat,” kata beliau yang dilihat sebagai pemimpin PAS-PN yang kurang kontroversi dan boleh diterima oleh banyak pihak.

Kecuali dalam percaturan politik dalam PAS terutama di peringkat Terengganu, beliau dilihat sebagai ahli politik ‘low profile’ di peringkat nasional.

Dalam keadaan PAS dan PN mahu menerima semula sokongan bukan Melayu-Islam tindakan menurunkan Samsuri merupakan strategi terbaharu PAS-PN.

Mengambil kira pelbagai perkembangan politik dalam PAS dan PN setakat ini, strategi menurunkan Dr Sam telah berjaya satu sudut iaitu mengekalkan kerusi Kemaman, tetapi kemenangan itu tidak cukup kuat bagi kedua-dua PAS dan PN.

Pemimpin berusia 53 tahun itu meskipun digambarkan sebagai bakal perdana menteri tidak mengatasi rekod undi calon partinya November 2022. Dengan kedudukan sebagai menteri besar penggal kedua dan bakal calon perdana menteri, ia tidak diterjemahkan dalam bentuk sokongan dan undi yang sebenar – undi yang diperoleh sepatutnya lebih besar.

Samsuri mempunyai tugas dan tanggungjawab berat sebelum boleh diangkat menjadi perdana menteri dan menggalas jawatan tertinggi peringkat pusat. Pastinya bukan dalam waktu terdekat. Jumlah undi yang diperoleh Sabtu adalah bukti. – 4 Disember, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen