Masih ingat lagi pembangkang ejek Umno Apco?


Salhan K. Ahmad

Penduduk Gaza membawa keluar mangsa serangan terkini Israel di wilayah itu semalam. – Gambar AFP, 4 Disember, 2023.

SEWAKTU Israel memulakan Nakba Kedua untuk membantai Palestin pada bulan lalu, firma perhubungan raya giat berkempen agar masyarakat dunia memihak pada rejim genosid itu.

Kita tahu firma terkenal antarabangsa seperti Edelman mengeluarkan nasihat kepada para pelanggannya untuk mengutuk Hamas dan menyokong rejim Israel.

Kenyataan disiarkan bos firma itu, Richard Edelman di laman rasminya langsung tidak menyebut mengenai pengeboman Israel ke atas ribuan kanak-kanak, wanita dan orang tua di Palestin.

Sebaliknya beliau mahu propaganda pro-Israel disampaikan kepada pelanggan dan kakitangannya. Pendirian ini tentulah bertentangan dengan dasar Malaysia.

Edelman salah sebuah firma perhubungan raya yang beroperasi di Malaysia. Kita tahu, ia menjalankan khidmat komunikasi untuk syarikat dan entiti tertentu berkaitan kerajaan.

Nilai kontrak untuk khidmat komunikasi ini bukan kecil. Kita pernah mendengar bayaran berjumlah jutaan ringgit untuk menggunakan khidmat firma perhubungan raya seperti ini.

Kita masih ingat lagi seorang bekas penasihat kepada bekas perdana menteri Najib Razak terpaksa membayar balik wang berjumlah lebih RM7 juta kepada kerajaan, dua tahun lalu.

Wang yang didapati diperolehi daripada dana 1MDB antara lain digunakan untuk membayar pengamal perhubungan raya, Paul Stadlen bagi kempen dan lobi.

Pada asalnya, Stadlen dilaporkan menjadi seorang pegawai Apco International, yang mula mendapat kontrak pada 2009 ketika Najib menjadi perdana menteri.

Kontrak Apco tidak disambung semula ekoran kaitan firma itu dengan Israel. Kita masih ingat pembangkang mengejek Najib dan konconya dengan slogan Umno Apco dalam Dewan Rakyat.

Selepas itu, Stadlen dilaporkan berkhidmat bagi FBC Media yang giat mempromosi Najib di luar negara pada waktu itu. Beliau juga dikaitkan dengan kunjungan Najib ke Amerika Syarikat pada 2017.

Kita masih ingat lagi bagaimana delegasi Malaysia terbongkok-bongkok di hadapan Donald Trump sewaktu menghadap presiden Amerika Syarikat itu di Rumah Putih.

Hasilnya, Malaysia mengumumkan janji niaga berjumlah AS$10 juta, sebahagian besarnya bagi membeli pesawat dari firma Boeing.

Najib waktu itu mengumumkan usaha itu bagi membantu ekonomi Amerika Syarikat.

Ia antara lain melibatkan pembelian 25 buah pesawat 737-MAX 10, lapan buah pesawat 787 Dreamliner dan juga potensi membeli 25 buah lagi pesawat 737-MAX 10.

Kita tahu Boeing bergelut dengan pelbagai masalah teknikal dan undang-undang pada waktu itu kerana begitu banyak generasi 737-MAX terhempas dan mengorbankan nyawa.

Kita juga tahu Boeing antara firma yang paling lantang berkempen mempertahankan kekejaman dan genosid Israel di bumi Palestin.

Parlimen Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2023.

Pengaruh firma perhubungan raya juga menjadi perhatian bulan lalu sewaktu kerajaan mahu membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok.

Pada tarikh 10 Oktober, banyak pihak ternanti-nanti Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa membentangkannya untuk bacaan kali kedua, tetapi ia tidak berlaku.

Kita difahamkan, para pengamal perhubungan raya pula mengambil peluang untuk menjadi jurucakap kerajaan kepada wartawan di lobi bangunan Parlimen.

Kegiatan seperti inilah yang memberi jolokan kepada pengamal perhubungan raya sebagai pelobi.

Para pengamal perhubungan raya meleser di lobi dewan perundangan di seluruh dunia untuk mengolah persetujuan rakyat dengan mempengaruhi keputusan para wakilnya.

Berbalik pada RUU tersebut, syarikat rokok, produk tembakau dan vape ini tentu gembira apabila peruntukan mewujudkan generasi penamat melalui RUU itu kini digugurkan.

Sebab itulah bekas menteri kesihatan Malaysia yang menjuarai RUU itu, Khairy Jamaluddin secara sinis mengucapkan tahniah terhadap pada pelobi syarikat rokok.

Beliau mendakwa pengaruh pelobi ini amat besar sehingga berjaya menggagalkan usahanya.

Walaupun peruntukan generasi penamat dibentuk dengan niat murni dan penuh suci hati bagi menjaga kesejahteraan warga, ia gagal mengatasi hak pemodal menjaga keuntungan mereka.

Ini kerana warga muda tetap berpotensi menjadi pelanggan syarikat rokok dan vape apabila dewasa kelak walaupun disekat daripada membeli produk itu pada masa ini.

Peruntukan generasi penamat gagal mengatasi hak syarikat rokok, produk tembakau dan vape menjaga keuntungan mereka. – Gambar EPA, 4 Disember, 2023.

Kita maklum bahawa pengaruh dan keberkesanan operasi firma dan pengamal perhubungan raya begitu besar.

Kita tahu bagaimana jentera perhubungan raya Israel mengawal kerajaan Amerika Syarikat melalui badan digelar American Israel Public Affairs Committee.

Badan ini akan menaja calon yang disukainya untuk memastikan individu ini menang pilihan raya Amerika Syarikat dan terus menyokong dasar pro-Israel.

Kita tidak boleh membiarkan amalan sama berleluasa sehingga menjejaskan proses demokrasi dan kedaulatan negara. Oleh itu, kawalan ke atas firma perhubungan raya perlu diperketat.

Struktur, asal-usul dan rangkaian firma ini perlu dikenal pasti. Tajaan ke atas setiap program wakil rakyat dan kempen seperti tanggungjawab sosial korporat perlu diteliti.

Tugas yang dijunjung firma perhubungan raya di Malaysia perlu diketahui dengan jelas. Kita tidak boleh membiarkan para pengamalnya diperalat untuk memajukan agenda jahat.

Lihat saja perkembangan yang berlaku sebelum skandal 1MDB terbarai. Kempen perhubungan raya berjaya memaparkan perkara indah dan lunak sahaja dan menyembunyikan segala pekungnya.

Paling malang sekali apabila kempen ini dilaksana dengan wang rakyat. Mengapa kerajaan perlu membelanjakan wang kita untuk membohongi diri kita sendiri?

Sudah tiba masa untuk memastikan perkara ini diliputi dalam Rang Undang-Undang Profesion Perhubungan Raya kelak. – 4 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen