DAP Sabah tekad pertahan kerusi dimenangi pada PRN akan datang


Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe menggesa kerajaan persekutuan untuk menegakkan hak kebebasan beragama. – Gambar Facebook, 3 Disember, 2023.

DAP bertekad untuk mempertahan kerusi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, berkata parti itu akan terus menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor hingga tempohnya berakhir pada 2025.

“DAP Sabah berazam untuk terus berkembang bagi menawarkan perkhidmatan terbaik dan idealisme yang progresif kepada rakyat di negeri ini pada PRN akan datang,” katanya pada Konvensyen DAP Sabah di Sandakan hari ini.

Ia adalah antara dua daripada tujuh usul yang diluluskan pada konvensyen itu, yang menyaksikan Setiausaha Penganjur Kebangsaan DAP Steven Sim, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, mewakili Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti berkenaan.

Phoong juga berkata jawatankuasa parti negeri itu turut menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan yakin di bawah kepimpinan beliau, Sabah akan diberi bantuan lebih besar bagi menangani masalah di negeri berkenaan.

Beliau berkata DAP Sabah turut menyatakan dedikasi mereka dalam usul ke arah menegakkan hak-hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bahawa Kerajaan Persekutuan harus menyegerakan pelaksanaannya termasuk pemberian geran khas 40%.

Mereka juga meminta kerajaan persekutuan agar menegakkan hak bagi kebebasan beragama dan melindungi kepelbagaian kaum seperti termaktub dalam Perlembagaan sebagaimana tertulis di Batu Sumpah Sabah serta tidak sesekali tunduk dengan golongan pelampau agama yang mencemarkan semangat Persekutuan Malaysia selaras dengan prinsip MA63. – Bernama, 3 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen