Momentum sokongan kepada Perikatan meningkat, kata Takiyuddin


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan momentum sokongan kepada Perikatan Nasional dalam siri PRK semakin meningkat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2023.

TERDAPAT peningkatan momentum sokongan untuk Perikatan Nasional berikutan kemenangan besar gabungan itu di Kemaman, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

“Ini bukan sahaja membuktikan penerimaan terhadap kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu, tetapi juga mengesahkan momentum sokongan menaik kepada Perikatan Nasional (PN) dalam siri PRK.

“Selain itu, ia juga adalah referendum penolakan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang diketuainya..,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi, pegawai parti, penyokong dan lain-lain yang terlibat dalam pilihan raya sambil menambah bahawa kemenangan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti 37,220 undi yang lebih besar mewakili sokongan 70% pengundi.

Dalam pilihan raya kecil semalam, Samsuri memperoleh 64,998 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, yang memperoleh 27,778 undi.

Takiyuddin berkata terdapat penurunan sokongan kepada calon Pakatan-Barisan yang mendapat 27,778 undi atau 30% sokongan, iaitu lebih rendah daripada yang diterima calon mereka pada PRU15.

Beliau berkata, pada PRU15, calon Pakatan-Barisan mendapat sokongan 41% dan mengatakan ini adalah penurunan yang ketara.

“PAS kekal komited kepada politik matang, bermaruah dan demokratik bukan sahaja dalam peranannya sebagai blok pembangkang di Parlimen, tetapi juga sebagai kerajaan di negeri-negeri yang ditadbirnya atas kepercayaan bahawa ia adalah pendekatan terbaik untuk kepentingan negara dan rakyat.

“Dalam pada itu, PAS juga bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat nasional apabila keadaan menghendaki sedemikian susulan kegagalan berterusan Putrajaya untuk memastikan rakyat dan negara terlindung daripada kesan negatif tindak-tanduk kerajaan sendiri mahu pun perkembangan yang berlaku di dunia luas,” tambahnya. – 3 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen