TIGER Stripes, filem yang mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi berjaya dijual untuk tayangan umum di beberapa pasaran utama dunia termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, dan Korea Selatan, lapor portal industri perfileman Screen Daily.
Ia juga berjaya dipasarkan untuk edaran di Sepanyol, Australia, New Zealand, Belgium, Netherlands, Luxembourg, Norway, Brazil dan Taiwan.
Syarikat pengedaran Films Boutique yang berpejabat Berlin dan Lyon, mengendalikan segala urusan jualan antarabangsa filem ini.
Tidak seperti tayangan lain di serata dunia yang dibuat tanpa potongan, Tiger Stripes menemui penonton tempatan pada Oktober lalu dengan beberapa potongan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).
Tindakan LPF itu menyebabkan Eu mengeluarkan kenyataan tidak memperakui filem yang dipotong itu sebagai karyanya seperti yang diniatkan untuk tontonan umum.
Dalam satu wawancara dengan The Guardian minggu lalu, Eu berkata penapisan filem masih tidak berubah di Malaysia biar pun Anwar Ibrahim sudah jadi perdana menteri.
“Buat masa ini, itu masih tidak berubah,” katanya, merujuk pada undang-undang penapisan filem yang masih kekal bawah pentadbiran kerajaan sekarang.
Filem sulung arahan Amanda Nell Eu ini memenangi hadiah utama Critics’s Week di Festival Filem Cannes pada Mei lepas.
Minggu ini, ia membuka Festival Filem Antarabangsa Singapura kali ke-34 yang bermula pada 30 November.
Minggu depan, ia akan tayang perdana di Timur Tengah dan Afrika Utara dalam Festival Filem Laut Merah di Jeddah.
Tayangan Tiger Stripes dengan potongan menyusul pengumuman Malaysia menamakan filem itu sebagai wakil negara untuk dinilai menerima Oscars bagi kategori filem cereka asing terbaik.
Tiger Stripes adalah antara 89 filem yang sedang dinilai oleh anggota Akademi Seni dan Sains Filem (AMPAS).
Badan itu akan mengumumkan 15 filem yang disenarai pendek pada 21 Disember ini sebelum lima calon akhir dimuktamadkan pada 23 Januari 2024. – 2 Disember, 2023.
Komen