PENGERUSI DAP Lim Guan Eng menafikan khabar angin yang hubungannya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sedang bergolak.
Lim memberitahu FMT yang beliau dan Chow adalah rakan seperjuangan dan perbezaan pandangan tidak boleh diandaikan sebagai rancangan untuk menyingkirkan ketua menteri itu.
“Plot khayalan itu dibuat oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi atau tidak boleh menerima perbincangan sihat tentang dasar awam yang memanfaatkan rakyat,” kata Lim dipetik portal berita itu.
FMT sebelum ini melaporkan yang wujud kebimbangan dalam kalangan akar umbi DAP berkaitan kemelut hubungan Lim dan Chow, terutamanya seperti berlaku dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang baru tamat baru-baru ini.
“Perbezaan pandangan tak sama dengan plot untuk menyingkirkan. Kami hanya mahukan tadbir urus yang baik. Selaku wakil rakyat, saya perlu luahkan pandangan rakyat tentang apa yang baik untuk Pulau Pinang,” kata Lim lagi.
Tambahnya, khabar angin yang beliau mahu “menyingkirkan” Chow adalah tidak berasas, dengan Chow sendiri menarik balik dakwaan yang beliau berdepan ancaman disingkirkan sebagai ketua menteri.
“Dakwaan sebegitu tidak disokong bukti. Chow sendiri mengakui yang beliau tersilap,” katanya.
Bekas menteri kewangan itu menjelaskan khabar angin tentang kekeruhan hubungan antaranya dan Chow adalah disebabkan perbezaan pandangan berkaitan beberapa cadangan dibentangkan di DUN baru-baru ini.
“Beberapa ketidaksefahaman ini berkisarkan tentang pembentukan zon kewangan khas (SFZ) untuk Pulau Pinang seperti di Johor Bahru; membeli air terawat dari Perak; cadangan cukai jualan petroleum dan hidrokarbon serupa dengan Sarawak; dan kemelut jualan tanah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang memberikan kontrak secara terus dan bukannya tender terbuka,” tekan Lim.
Katanya lagi, ketidaksefahaman itu berlaku apabila wakil rakyat kerajaan menyokong cadangan pembentukan SFZ, tetapi Chow menangguhkan kelulusan sementara menunggu kajian lanjut. – 2 Disember, 2023.
Komen