HAMPIR 60,000 pengundi di Kemaman setakat 1 tengah hari tadi sudah mengundi untuk memilih wakil rakyat baharu yang akan mewakili mereka di Parlimen, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mereka adalah 42% daripada 141,043 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya kecil yang diadakan hari ini susulan keputusan mahkamah membatalkan pemilihan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 lebih setahun lepas.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi mencapai 70%, namun bergantung kepada keadaan cuaca, yang diramalkan hujan sepanjang hari di Kemaman.
SPR membuka 49 pusat mengundi sejak pukul 8 pagi tadi, yang akan dibuka sehingga 6 petang.
Proses penjumlahan undi dijadual berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai.
Secara keseluruhan 141,790 pengundi layak mengundi termasuk 387 anggota polis, enam anggota tentera dan tiga pasangan mereka serta 12 pengundi tidak hadir luar negara.
Semua anggota polis dan tentera yang layak mengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing melalui undi pos sebelum ini manakala tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera telah mengundi awal di Balai Polis Kijal, Selasa lepas.
Pilihan raya semula ini ditandingi satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Kemaman mengundi semula selepas Hakim Anselm Charles Fernandis membatalkan pilihan raya 19 November 2022 kerana wujud sogokan kepada pengundi pada 26 September 2023.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak yang terlibat dengan rasuah semasa pilihan raya di Kemaman pada PRU15.
Pada PRU15, calon PAS Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN Ahmad Said, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab Ghani (Gerakan Tanah Air).
PRK Kemaman ini adalah yang keenam sejak PRU15. – 2 Disember, 2023.
Komen