Remaja cuba rompak pemandu Grab didakwa esok, lapor media


REMAJA berumur 13 tahun yang dirakam aksinya cuba menyamun seorang pemandu kereta perkhidmatan e-hailing awal minggu ini akan dihadapkan di mahkamah di Sungai Petani esok, lapor media.

Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan berkata remaja itu akan dituduh mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan merompak.

“Kita telah rujuk kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dan arahan untuk mendakwa remaja lelaki itu dibenarkan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

“Remaja yang masih bersekolah itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani esok,” katanya, seperti dipetik Malaysia Gazette.

Sabitan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Awal minggu ini tular rakaman seorang remaja cuba menikam seorang pemandu perkhidmatan Grab dengan pisau tetapi gagal, lalu dia keluar dari kereta dan melarikan diri.

Pemandu berkenaan kelihatan tidak mengalami kecederaan dan merampas pisau dari tangan remaja itu.

Kejadian dilaporkan berlaku di Taman Keladi, Sungai Petani pada petang 27 November.

Pemandu berkenaan membuat laporan pada malam kejadian dan remaja itu ditahan di rumahnya pada pukul 10 malam hari yang sama. – 2 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen