SEORANG pegawai kanan Paraguay dipecat minggu ini selepas menandatangani memorandum kerjasama dengan sebuah negara yang tidak wujud.
Arnaldo Chamorro memberitahu wartawan pada Khamis yang beliau dipecat daripada jawatannya sebagai ketua kakitangan menteri pertanian selepas menandatangani dokumen yang dikatakan rasmi dari “United States of Kailasa”- yang dibentangkan kepadanya sebagai sebuah negara kepulauan kecil di Amerika Selatan.
“Mereka (“pegawai” datang berjumpa dan meluahkan hasrat membantu Paraguay. Mereka membentangkan beberapa projek, kami dengar dan itu sahaja,” katanya, mengakui yang beliau ditipu.
Beliau dipecat pada Rabu lepas.
Chamorro berkata pegawai palsu itu turut berjumpa Menteri Pertanian Carlos Gimenez.
Motif penipuan tidak diketahui.
Memorandum ditandatangani kedua-dua pihak turut mewujudkan hubungan diplomatik antara dua “negara”.
Dokumen itu yang mempunyai kepala surat kementerian dan setem rasmi, Chamorro memberikan penghormatan kepada “Nithyananda Paramashivam yang terhormat, ketua pentadbiran United States of Kailasa,” dan memuji sumbangannya kepada “Hinduism, kemanusiaan dan Republik Paraguay.”
Memorandum turut mencadangkan yang “kerajaan Paraguay secara aktif meneroka untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan United States of Kailasa dan menyokong statusnya sebagai negara berdaulat kepada pelbagai organisasi antarabangsa, termasuk PBB.”
Media Paraguay melaporkan yang “Paramashivam” sebenarnya seorang warga India yang diburu pihak berkuasa di negaranya.
Kementerian Pertanian dalam satu kenyataan menyalahkan “kesilapan prosedur” dan berkata memorandum itu “tidak boleh dianggap rasmi” dan tidak meletakkan Paraguay dalam kedudukan perlu melaksanakan sebarang tanggungjawab. – AFP, 2 Disember, 2023.
Komen