PBB batal sepenuhnya embargo senjata ke Somalia


PBB membatalkan sepenuhnya embargo senjata api kepada Somalia bagi membolehkan pasukan keselamatan negara itu menambah keupayaan untuk melawan kumpulan jihadis Al-Shabaab. – Gambar AFP, 2 Disember, 2023.

MAJLIS Keselamatan PBB pada Jumaat membatalkan sepenuhnya embargo senjata api ke atas kerajaan Somalia, tetapi meneruskan sekatan dikenakan ke atas kumpulan jihadis Al-Shabaab.

PBB mengenakan embargo senjata api di Somalia pada 1992, tetapi beberapa kali melonggarkan sekatan itu.

Embargo itu tidak terpakai ke atas penghantaran senjata untuk pembangunan pasukan keselamatan Somalia, walaupun jawatankuasa PBB yang menyelia sekatan perlu dimaklumkan dan boleh membuat bantahan terhadap pembelian senjata berat tertentu.

Resolusi pertama yang diluluskan sebulat suara pada Jumaat membatalkan embargo umum seterusnya memansuhkan sekatan terakhir ke atas kerajaan Somalia.

Resolusi kedua untuk mengenakan sekatan ke atas Al-Shabaab, mengekalkan larangan penghantaran senjata, bahan letupan dan peralatan tentera kepada kumpulan Islam itu dan “actor lain yang berniat menganggu keamanan dan keselamatan di Somalia.”

Duta Somalia Abukar Dahir Osman mengalu-alukan langkah itu.

“Pembatalan embargo senjata api membolehkan kami berdepan ancaman keselamatan termasuk daripada AL-Shabaab.

“Ia juga membolehkan kami menambah keupayaan pasukan keselamatan Somalia dengan mendapatkan senjata dan peralatan mencukupi untuk mengawal rakyat dan negara kami,” katanya.

Selepas beberapa siri kejayaan, usaha memerangi Al-Shabaab tergendala beberapa bulan, mencetuskan kebimbangan tentang keupayaan kerajaan menghapuskan pemberontakan bersenjata selama 16 tahun diketuai militan dikaitkan dengan Al-Qaeda itu.

Tentera Somalia yang bersekutu dengan militia suku, disokong oleh tentera Misi Transisi Kesatuan Afrika di Somalia (ATMIS) bagi menakluk semula kawasan jajahannya.

Resolusi PBB mahukan pasukan ATMIS dikurangkan kepada sifar menjelang hujung tahun depan, menyerahkan penyeliaan keselamatan negara itu kepada tentera dan polis Somalia.

Bagaimanapun, kerajaan pada September meminta “penangguhan teknikal” selama tiga bulan bagi menarik keluar 3,000 anggota tentera itu.

Pengeluaran tentera tersebut itu “akan dimuktamadkan seperti dijadual pada 31 Disember 2023,” kata utusan Somalia, menambah yang kerajaan komited bagi pasukan keselamatan negara itu mengambil alih tanggungjawab keselamatan “dalam tempoh masa ditetapkan.” – AFP, 2 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen