Penunjuk perasaan di Atlanta bakar diri di luar konsulat Israel


Anggota keselamatan memeriksa lokasi di mana seorang penunjuk perasaan bertindak membakar dirinya di luar konsulat Israel di Atlanta. – Gambar Facebook, 2 Disember, 2023.

SEORANG penunjuk perasaan di luar konsulat Israel di Atlanta berada dalam keadaan kritikal pada Jumaat selepas bertindak membakar dirinya sendiri, kata pihak polis.

“Bendera Palestin dilaporkan di lokasi dan merupakan sebahagian daripada protes,” kata Darin Schierbaum, ketua polis bandar selatan Amerika Syarikat (AS) itu.

Beliau berkata insiden itu “kemungkinan tindakan protes politik yang melampau.”

Seorang pengawal keselamatan juga cedera selepas cuba menghalang penunjuk perasaan, menurut petugas kecemasan.

“Kedua-dua individu melecur,” kata Ketua Bomba Atlanta Roderick Smith kepada wartawan.

Beliau tidak menyatakan umur atau jantina penunjuk perasaan itu.

Pengawal keselamatan menyedari individu itu cuba membakar diri mereka sejurus selepas penunjuk perasaan tiba di luar bangunan konsulat sekitar tengah hari (1700 GMT), kata Smith.

Pengawal cuba menghalang tindakan individu terbabit tetap gagal.

Pengawal itu melecur di pergelangan tangan dan kakinya, kata Smith, manakala penunjuk perasaan berada dalam keadaan kritikal dengan melecur di badan mereka. Kedua-duanya dibawa ke hospital, tambahnya.

“Kami sebenarnya melakukan rondaan khas di lokasi ini dan komuniti Yahudi dan Islam lain di bandar,” tambah Schierbaum.

Amerika Syarikat menyaksikan peningkatan dalam ancaman dan keganasan Anti-Semitik, anti-Arab dan Islamofobia sejak permulaan perang Israel dengan Hamas di Gaza pada Oktober.

Awal minggu ini seorang lelaki AS didakwa dengan cubaan membunuh kerana menembak tiga lelaki berketurunan Palestin di Vermont, dan seorang budak lelaki berketuranan Palestin-Amerika berusia enam tahun ditikam hingga mati di Illinois pada Oktober. – AFP, 2 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen