3 wartawan terkorban serangan Israel, kata Hamas


Sekurang-kurangnya 178 orang maut di Gaza sejak jeda tujuh hari tamat pada pagi Jumaat dan pertempuran darat serta serangan udara Israel disambung semula. – Gambar AFP, 2 Disember, 2023.

KERAJAAN Gaza dikendalikan Hamas berkata tiga wartawan terbunuh dalam serangan Israel pada Jumaat ketika pertempuran sengit disambung semula selepas gencatan senjata selama seminggu.

Pejabat akhbar kerajaan mengenal pasti ketiga-tiga mereka sebagai jurukamera Muntassir al-Sawwaf yang bekerja untuk agensi berita negara Anadolu Turkiye, abangnya Marwan yang bekerja sebagai juruaudio dan jurukamera Abdullah Darwish.

Ia berkata kematian mereka menjadikan jumlah wartawan yang terkorban kepada 73 orang sejak perang bermula pada 7 Oktober.

Agensi Turkiye mengesahkan kematian Sawwaf dan dua lagi yang tidak disebutkan di selatan Gaza.

“Kami bimbang dengan nyawa rakan sekerja kami, yang menjalankan tugas dengan penuh taat dalam keadaan yang sangat sukar,” kata pengarah besar Anadolu Serdar Karagoz.

“Kami akan meneruskan perjuangan untuk memastikan mereka yang melakukan serangan ini dipertanggungjawabkan.”

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) berkata awal Jumaat sekurang-kurangnya 57 wartawan dan petugas media meninggal dunia sejak permulaan perang.

Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza berkata sekurang-kurangnya 178 orang maut di wilayah itu sejak jeda tujuh hari tamat pada pagi Jumaat dan pertempuran darat serta serangan udara Israel disambung semula.

Semasa gencatan senjata, Hamas membebaskan 80 tebusan Israel sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin.

Pihak berkuasa Hamas berkata serangan Israel membunuh lebih 15,000 orang, kebanyakannya orang awam. – AFP, 2 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen