SEORANG pegawai polis, antara empat individu yang didakwa kerana terlibat dalam penculikan seorang wartawan Bangladesh.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata keempat-empat mereka didakwa pada 22 November di Mahkamah Majistret Kuala Selangor.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua, jika sabit kesalahan.
“Polis buat lapan tangkapan dalam kes ini, empat telah didakwa,” Hussein dipetik sebagai berkata oleh portal Free Malaysia Today.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata seorang daripada tiga anggota polis yang disyaki terbabit dalam penculikan itu digantung tugas.
Wartawan dari Bangladesh itu mendakwa bahawa kerja penyiasatannya dalam mendedahkan sindiket pekerja asing yang dikendalikan oleh rakan senegaranya di sini telah mengakibatkan dia diculik dan diseksa bulan lepas.
Dia mendakwa penculiknya turut menuntut wang tebusan RM1.9 juta untuk pembebasannya, walaupun dia dibebaskan tiga hari kemudian selepas mereka mengetahui bahawa polis sedang menjejaki mereka.
Insiden itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Klang, Selangor, dan wartawan itu mendakwa dia dipukul, dirotan, ditendang di perut, dan tangannya diikat sekumpulan lelaki.
Wartawan Bangladesh itu, yang enggan identiti didedahkan atas faktor keselamatan, mendakwa pengalaman pahitnya bermula pada 7 November apabila tiga individu yang mendakwa sebagai pegawai dari Bukit Aman membawanya dari rumahnya dekat Putrajaya untuk disoal siasat.
Dia mendakwa dibawa ke sebuah rumah berhampiran Kapar, di mana dia dipukul “setiap jam”.
Katanya pukulan itu hanya terhenti apabila dia bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka dan memberi “apa sahaja yang mereka mahu”, termasuk wang simpanannya hampir RM50,000. – 1 Disember, 2023.
Komen