TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini kembali bertugas serta menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selepas tempoh berehat setelah menjalani pembedahan baru-baru ini.
Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, dilihat hadir dalam bilik mesyuarat dalam keadaan ceria ketika membuat pendaftaran Identiti Digital Nasional atau Digital ID pada 9 pagi tadi.
Zahid merupakan antara Jemaah Menteri yang menyertai perdana menteri mendaftar Digital ID, platform yang dipercayai dan selamat, serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian, tanpa menggantikan sistem MyKad.
“Ya, Datuk Seri kembali bertugas,” kata seorang pegawai Zahid.
Pada 19 November lepas, anak sulung beliau Nurulhidayah Ahmad Zahid menerusi hantaran di Instagram, mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan yang diadakan pada 14 Disember.
Pada 23 November, Zahid dalam hantaran di laman sosial miliknya berkata beliau kini dalam tempoh berehat seperti yang dinasihatkan oleh doktor, sebelum kembali bertugas. – Bernama, 1 Disember, 2023.
Komen