Hamas terbuka lanjut gencatan senjata


Seorang pejuang Hamas berkawal ketika kenderaan Palang Merah membawa tahanan yang baru dibebaskan di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. – Gambar AFP, 1 Disember 2023.

Hamas bersedia melanjutkan gencatan senjata untuk menyelesaikan pertukaran tebusan dan tahanan dengan Israel, kata sumber yang rapat dengan kumpulan pejuang itu semalam.

Dalam perkembangan sama Amerika Syarikat (AS) juga menggesa Israel menubuhkan zon selamat untuk orang awam di Gaza ketika jeda kemanusiaan hampir tamat.

Tekanan antarabangsa telah meningkat untuk menghentikan perang yang berkekalan, yang dicetuskan oleh serangan maut Hamas ke atas Israel yang mendorongnya untuk melancarkan serangan dahsyat ke atas Semenanjung Gaza.

Ketika kumpulan tahanan Israel terbaharu dibebaskan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, sumber yang rapat dengan kumpulan pejuang Islam berkata ia bersedia melanjutkan gencatan senjata yang membolehkan bantuan sampai kepada orang awam di Gaza. Israel bagaimanapun masih belum memberikan maklum balas.

Sewaktu gencatan senjata hampir tamat hari ini, Setiausaha Negara AS Antony Blinken menggesa ia dilanjutkan selepas bertemu dengan pemimpin di Israel dan Tebing Barat yang diduduki.

“Jelas sekali kami mahu melihat proses ini terus bergerak ke hadapan.

“Kami mahukan hari kelapan dan seterusnya,” katanya kepada pemberita di Tel Aviv.

“Israel mesti melaksanakan rancangan perlindungan awam kemanusiaan yang meminimumkan korban lagi rakyat Palestin yang tidak bersalah.

“Ini termasuk dengan jelas dan tepat menetapkan kawasan serta tempat di selatan dan tengah Gaza di mana mereka boleh selamat dan keluar dari garisan api,” katanya.

Sumber rapat dengan Hamas yang enggan dinamakan memberitahu AFP mereka bersedia untuk melanjutkan gencatan senjata.

“Pengantara pada masa ini melakukan usaha yang kuat, sengit dan berterusan untuk satu hari tambahan dalam gencatan senjata dan kemudian berusaha untuk melanjutkannya lagi untuk hari-hari lain,” kata sumber itu. – AFP, 1 Disember 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen