7 unit simpanan tangki darah tali pusat terdedah suhu lebih had, kata MOH Singapura


MOH Singapura menjalankan audit tanpa pemberitahuan selepas mendapat aduan.– Gambar EPA, 30 November, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan Singapura (MOH) mendapati tujuh daripada 22 tangki simpanan unit darah tali pusat yang dikendalikan oleh sebuah bank darah tali pusat swasta terdedah kepada suhu melebihi had yang boleh diterima iaitu di bawah -150 darjah Celsius.

Berikutan itu, MOH telah mengeluarkan notis kepada pengendali, Cordlife Group Ltd (CGL) supaya menghentikan aktiviti mengumpul, menguji, memproses dan/atau menyimpan sebarang darah tali pusat dan tisu manusia baharu atau menyediakan sebarang jenis ujian baharu kepada pesakit untuk tempoh sehingga enam bulan sementara menunggu representasi bertulis daripada GGL.

“Sementara siasatan dijalankan notis pemberhentian itu dibuat untuk melindungi kepentingan pesakit,” kata MOH di laman sesawangnya, hari ini.

CGL dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kesihatan 2020 (HCSA) sebagai perkhidmatan bank darah tali pusat, perkhidmatan bank tisu manusia dan perkhidmatan makmal klinikal.

MOH berkata kementerian itu menerima aduan daripada seorang anggota perkhidmatan awam pada 24 Julai 2023, mendakwa unit darah tali pusat yang disimpan dalam tangki di CGL terdedah kepada suhu melebihi 0°C, selain beberapa isu lain berkaitan kualiti perkhidmatan.

Selepas menerima aduan, MOH menjalankan audit tanpa pemberitahuan.

Audit yang dijalankan mendapati unit darah tali pusat yang dibekukan oleh CGL terdedah kepada suhu melebihi had yang boleh diterima dalam tujuh daripada 22 tangki simpanan dalam tempoh yang berbeza dari November 2020 hingga kini.

Simpanan unit darah tali pusat adalah perkhidmatan peribadi yang disediakan dalam tempoh 20 tahun terakhir kepada ibu bapa selepas kelahiran bayi.

Darah tali pusat mengandungi sel stem yang dikenali sebagai sel stem hematopoietik yang boleh digunakan dalam pemindahan stem sel untuk merawat penyakit darah dan beberapa jenis kanser, seperti leukemia dan limfoma, jika bayi menghidap penyakit ini di kemudian hari. – Bernama, 30 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen