MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu Kerajaan Malaysia dan empat yang lain tidak melakukan sebarang salah guna jawatan awam apabila mereka mengambil keputusan untuk menggantung dan menamatkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Donald Joseph Franklin berkata defendan termasuk dua bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin menjalankan kuasa serta tanggungjawab mereka secara jujur, profesional dan tanpa mempunyai sebarang kepentingan peribadi.
“Pada setiap masa berkenaan defendan bertindak secara munasabah dan wajar berdasarkan fakta dan mengikut undang-undang dalam menjalankan tugas, tanggungjawab dan kewajipan mereka.
“Keputusan defendan adalah keputusan dasar Kerajaan Malaysia selepas mengambil kira pandangan pakar, rundingan antara pihak, kepentingan negara dan implikasi kos,” katanya semasa prosiding permohonan kerajaan dan empat tokoh politik untuk membatalkan saman yang difailkan Mohd Hatta Sanuri, 47, berhubung pembatalan projek infrastruktur membabitkan Malaysia dan Singapura.
Pada 30 Disember tahun lepas Mohd Hatta memfailkan saman itu bagi pihaknya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang didakwa terjejas dengan keputusan defendan yang dinamakan iaitu Dr Mahathir, Muhyiddin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.
Franklin juga berhujah proses membuat keputusan defendan adalah atas pertimbangan yang lebih luas terhadap pendapat pakar, kepentingan negara, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura serta implikasi kos.
“Oleh itu kami berhujah mahkamah tidak mempunyai peranan perlembagaan atau kompeten institusi untuk memutuskan proses membuat keputusan badan eksekutif,” katanya sambil menambah bahawa plaintif tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan undang-undang ke mahkamah.
Menurut SFC plaintif gagal untuk menunjukkan beliau mempunyai kepentingan yang sebenar dan tulen terhadap perkara itu atau sebarang kerugian material yang dialaminya akibat penggantungan dan penamatan projek HSR.
Sementara itu peguam Mohaji Selamat mewakili Mohd Hatta berhujah kesemua defendan melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan projek berkenaan.
Bagaimanapun Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain mempersoalkan tuntutan Mohd Hatta dengan mengatakan ia tidak mempunyai butiran untuk menyokong dakwaan salah guna jawatan awam yang dilakukan oleh defendan dan meminta plaintif menunjukkan butiran mengenai dakwaan itu.
Mohaji berkata ahli ekonomi turut menyatakan projek itu akan memberi manfaat kepada negara dan kerajaan akan menanggung kerugian kerana perlu membayar kepada kerajaan Singapura selepas projek berkenaan ditamatkan.
“Kegagalan defendan menjelaskan kepada orang ramai mengapa projek HSR dibatalkan menimbulkan kekeliruan dan menyebabkan plaintif serta pembayar cukai lain mengalami kerugian. Terdapat elemen salah guna jawatan awam,” kata peguam itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember untuk keputusan.
Dalam pernyataan tuntutan Mohd Hatta memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan penamatan projek itu sebagai batal dan tidak sah serta semua defendan membayar pampasan RM1 juta kepadanya dan semua rakyat Malaysia kerana secara salah dan cuai membatalkan projek HSR.
Pada 1 Januari 2021 Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Disember 2020.
Sehubungan itu Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.
Projek itu dijangka menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu perjalanan secara terus antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, perkhidmatan domestik di Malaysia dan perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura. – Bernama, 30 November, 2023.
Komen