KERTAS siasatan berhubung video tular perbualan individu mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Dr Mohammad Agus Yusoff dengan seorang kakitangan jabatan itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara esok.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata seramai lapan individu dipanggil bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Kertas siasatan itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara esok selari dengan perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu Razarudin berkata individu yang dinamakan sebagai ‘Mr H’ yang didakwa ada kaitan dengan video terbabit juga dipanggil hari ini bagi sambungan rakaman percakapan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata setakat ini tiada keperluan untuk mendedahkan identiti ‘Mr H’ kepada umum susulan siasatan masih dijalankan dan ia dikhuatiri akan mengganggu proses itu.
Sebelum ini tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Mohammad Agus pada sidang medianya baru-baru ini di sebuah hotel di Bangi mendakwa video itu disunting dan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Berhubung kes gangguan seksual terhadap seorang wanita membabitkan pegawai sebuah agensi keselamatan pula, Razarudin berkata kertas siasatan kes itu juga akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara esok.
Beliau berkata lima individu dipanggil bagi membantu siasatan kes itu.
Sebelum ini tular di media sosial paparan laporan polis seorang wanita yang bekerja sebagai penasihat kewangan berusia 39 tahun mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang pegawai tinggi kerajaan agensi keselamatan bergelar Datuk sejak tahun lepas.
Dalam kes berasingan Razarudin berkata lelaki yang ditahan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat hari ini.
“Siasatan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai membuat hantaran berkenaan secara suka-suka kerana baharu menggunakan aplikasi TikTok.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk bukti-bukti teknikal dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 4 Disember ini,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik namun video tersebut sudah dipadamkan. – Bernama, 30 November, 2023.
Komen