DUN Kedah lulus usul kecam kezaliman rejim zionis terhadap Palestin


Sidang DUN Kedah yang bermula pada Ahad lepas dengan pembentangan Belanjawan 2024, berakhir hari ini. – Gambar Facebook, 30 November, 2023.

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini sebulat suara meluluskan usul mengecam kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang telah berlarutan lebih sebulan.

Usul itu, yang dibentang oleh Sharir Long (PN-Pantai Merdeka) dan disokong oleh Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam), dipersetujui oleh kesemua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk tiga daripada pembangkang.

Semasa membentangkan usul itu, Sharir berkata hak utama rakyat Palestin berkaitan penentuan kendiri harus ditegakkan dan negara berkenaan sepatutnya diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

“Bagi kita penyelesaian dua negara yang direncanakan dunia adalah pengiktirafan kepada negara haram Israel serta mengecil dan menghilangkan hak rakyat Palestin terhadap negara mereka yang dijajah,” katanya.

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN-Kota Siputeh) ketika membahaskan usul itu pula berkata tindakan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin adalah satu pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik dan jenayah kemanusiaan.

Beliau berkata negara Islam perlu memainkan peranan dengan menyekat sebarang bentuk kontrak bersama syarikat Israel atau pihak yang menyokong negara itu bagi menghukum kekejaman mereka terhadap penduduk Palestin.

“Malah meninjau tindakan yang seharusnya dimainkan oleh dunia Islam, adalah penting untuk negara-negara Islam ini menerokai strategi bagi mengukuhkan keberadaan ekonomi sesama negara Islam sebagai tindak balas terhadap negara barat melalui tekanan ekonomi disebabkan pendirian mereka terhadap Israel,” katanya.

Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) yang turut menyertai perbahasan usul itu berkata meskipun berlainan agama, beliau dan dua lagi ADUN pembangkang berpendapat penindasan terhadap rakyat Islam di Palestin serta pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel harus dikutuk sekeras-kerasnya.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media selepas sidang DUN, menzahirkan penghargaan kepada semua ADUN yang sebulat suara menyokong usul itu.

Sidang DUN Kedah yang bermula pada Ahad lepas dengan pembentangan Belanjawan 2024, berakhir hari ini dan ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian. – Bernama, 30 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen