MP beri reaksi bercampur terhadap RUU kawalan produk merokok


Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2023.

AHLI Parlimen kerajaan dan pembangkang memberikan reaksi bercampur terhadap Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang antaranya menggugurkan peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG).

Rata-rata mereka menyokong rang undang-undang itu namun mahukan peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau serta rokok selain larangan merokok bagi individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya dikembalikan kerana jumlah perokok dalam usia muda ketika ini menunjukkan trend meningkat.

P. Prabakaran (PH-Batu) berkata beliau tidak akan berputus asa untuk memberikan tekanan kepada kerajaan supaya peruntukan GEG diteruskan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 perlu diluluskan sebagai langkah pertama ke arah mencapai GEG.

Fasal 13(1) dan 13(3) Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 menyatakan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini, berkata ia penting untuk dikuat kuasa bukan sahaja bagi mengatasi kelompongan dalam perundangan sedia ada dan melindungi golongan bukan perokok terhadap kesan sampingan asap rokok malah kepada golongan kanak-kanak, atau didefinisikan sebagai OBD.

Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) dan Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) pula berkata untuk mencapai kelaziman merokok daripada 21% kepada 5% pada 2045 agak sukar tanpa GEG.

Sementara itu, Radzi Jidin (PN-Putrajaya) meminta menteri kesihatan menjelaskan keputusan tersebut, yang dibuat atas alasan GEG adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kepada Dewan Rakyat.

Bagi Young Syefura Othman (PH-Bentong), meskipun GEG digugurkan, rang undang-undang itu perlu diluluskan kerana ia membawa perubahan besar untuk menambah baik kawalan dan penguatkuasaan dalam industri produk merokok.

“Pada masa sama, kita tidak boleh memberikan bebanan semata-mata kepada Kementerian Kesihatan. Kita sebagai ibu bapa, keluarga dan masyarakat juga memainkan peranan penting untuk tegur serta pantau mereka yang di bawah umur yang hisap rokok dan vape,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama, 29 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen