Bangunan dalam pembinaan runtuh, pihak berkuasa perlu bertindak tegas


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat terkejut dan kecewa apabila sebuah lagi bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh. Satu Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat kejadian ini.

Kemalangan yang melibatkan runtuhan itu berlaku di sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan tiga disahkan maut manakala dua cedera parah dan empat mangsa lagi dilaporkan dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan.

CAP menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) menyiasat dengan menyeluruh insiden yang berlaku itu dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dengan kemalangan itu. 

Memandangkan tempat kejadian itu berdekatan dengan pantai yang terdiri daripada tanah pasir dan batu kerikil sebarang struktur yang dibina di kawasan itu perlu dipastikan ia adalah benar-benar selamat dengan mengambil kira semua langkah keselamatan terutamanya kajian geologi.

Perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan melibatkan banyak pihak terutama sekali melibatkan nyawa pekerja. Apatah lagi kemalangan ini turut menyebabkan pekerja kehilangan nyawa dan mengalami cedera parah.

Memandangkan statistik kematian dalam kemalangan pekerjaan adalah tinggi maka keselamatan untuk pekerja mestilah diutamakan. Menurut Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) 6,793 kemalangan pekerjaan disiasat di Malaysia pada 2020. Daripada jumlah itu terdapat 193 kematian dan 256 hilang upaya kekal yang direkodkan pada tahun itu melibatkan pekerja asing.  

Pihak berkuasa yang berkenaan juga perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan secara tegas serta berterusan bagi memastikan semua langkah keselamatan di tapak pembinaan telah dipatuhi. Langkah berjaga-jaga perlu diambil berat apabila bekerja dalam situasi bahaya.

Tindakan tegas yang diambil boleh memberikan mesej kepada syarikat pembinaan bahawa undang-undang perlu dipatuhi setiap masa. Ia sesuai dengan notis ‘UTAMAKAN KESELAMATAN’ yang sering dipamerkan di tapak pembinaan. Pemilik premis perlu bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku.

Dengan meletakkan notis ini tidak bermakna ia membebaskan pihak industri pembinaan daripada liabiliti bagi kecederaan dan kematian. Begitu juga notis ini tidak membebaskan DOSH daripada memastikan bahawa semua langkah keselamatan dipatuhi.  

Dalam dua kes utama di Pulau Pinang, perancah runtuh di Jambatan Kedua Pulau Pinang dan sirip dinding runtuh di bangunan setinggi 21 tingkat, Suruhanjaya Siasatan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendapati terdapat ketidakcekapan dan kecuaian.

Setiap kali berlaku kemalangan, kita akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku. Adakah ia cuma suatu kemalangan ataupun berlaku kerana kecuaian? Sekiranya ia berlaku disebabkan oleh kecuaian, maka siapakah yang patut dipersalahkan? Pemaju, kontraktor, pekerja binaan atau pihak berkuasa sendiri.

Kami menggesa agar pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan yang teliti dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.

Seperti gesaan kami yang berulangkali sebelum ini, agar pihak berkuasa bertindak dan mengambil tindakan dengan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kemalangan yang berlaku.

Hanya dengan penguatkuasaan undang-undang secara tegas serta berterusan akan menjadikan pihak yang bertanggungjawab dalam industri pembinaan serta pihak berkuasa yang berkenaan akan lebih mematuhi undang-undang yang berkaitan. 

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang merupakan   agensi yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan membuat cadangan untuk pencegahan kecederaan dan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan juga perlu lebih banyak mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Sehubungan itu, kami sekali lagi menggesa agar pihak berkuasa menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kejadian ini. – 29 November, 2023.

*Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen