Penjawat awam Sarawak dapat bonus 2 bulan gaji, Persekutuan RM600


Kata Abang Jo, bantuan khas itu bagi menghargai sumbangan penjawat awam di Sarawak dalam melaksanakan mandat dan menggalas tanggungjawab mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2023.

PREMIER Sarawak Abang Johari Openg hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri yang akan dibayar sebelum penghujung tahun ini.

Beliau turut mengumumkan BKK berjumlah RM600 kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak sepanjang tahun ini dan bantuan akan dibayar awal tahun depan.

Ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, beliau berkata bantuan khas itu akan dibayar kepada kira-kira 28,000 penjawat awam negeri dan 130,000 penjawat awam Persekutuan di Sarawak.

Beliau berkata pembayaran bantuan khas itu sebagai menghargai sumbangan penjawat awam di Sarawak dalam melaksanakan mandat dan menggalas tanggungjawab mereka dengan penuh amanah demi kesejahteraan rakyat negeri berkenaan.

“Sebab itulah pendapatan negeri kita semakin bertambah kerana perkhidmatan awam bekerjasama dengan kerajaan untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya. – Bernama, 29 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen