China bantu negara membangun tangani isu perubahan iklim


China bukan sahaja mempunyai rangkaian penjanaan kuasa bersih terbesar di dunia malah turut menghulurkan sokongan dan bantuan kepada negara membangun lain. – Gambar EPA, 29 November, 2023.

CHINA turut menyokong dan menjadi antara penggerak utama usaha menangani isu perubahan iklim dunia, kata jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin pada sidang akhbar pada Selasa.

Wang berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai Loji Janakuasa Fotovolta (PV)2 Al Dhafra Emiriah Arab Bersatu (UAE), projek usaha sama antara China dan UAE.

Projek itu amat bermakna bagi negara UAE yang akan mengadakan Persidangan Pihak-Pihak ke-28 (COP28) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim tidak lama lagi.

Wang menyifatkan Loji Janakuasa PV2 Al Dhafra sebagai projek PV tunggal yang terbesar di dunia dan projek penting bagi pembinaan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam bidang tenaga hijau.

Menurut laporan, loji itu boleh membekalkan kuasa elektrik untuk 200,000 isi rumah, mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 2.4 juta tan setahun dan meningkatkan nisbah tenaga bersih dalam struktur penggunaan tenaga keseluruhan UAE kepada lebih 13%. 

Wang berkata China bukan sahaja mempunyai rangkaian penjanaan kuasa bersih terbesar di dunia malah turut menghulurkan sokongan dan bantuan kepada negara-negara membangun yang lain.

“Selain daripada Loji Janakuasa Suria PV2 Al Dhafra UAE, China juga mengambil bahagian dalam pembinaan projek tenaga bersih lain, seperti projek janakuasa angin Sachal di Pakistan, loji janakuasa haba solar Noor III di Maghribi, stesen janakuasa PV Al Kharsaah di Qatar dan loji janakuasa PV Garissa di Kenya,” katanya.

Beliau berkata kesemua projek itu memperlihatkan China mengamalkan konsep pembangunan mesra alam dan menyokong pembinaan dan pengoperasian infrastruktur hijau serta rendah karbon bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam usaha menangani perubahan iklim.

“Kami (China) menyokong UAE dalam menjayakan acara itu dan akan terus mendorong penyelarasan dalam pelaksanaan Laluan Sutera hijau dengan Agenda Pembangunan Mampan PBB 2030, memperkasa kerjasama praktikal dalam bidang infrastruktur hijau dan tenaga hijau sekali gus menyumbang kepada perkembangan rendah karbon dan hijau di pelbagai negara,” kata Wang. – Bernama, 29 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen