MBPP arah henti kerja serta-merta di gudang runtuh


MBPP mengeluarkan notis arahan berhenti kerja serta-merta kepada pemaju, jurutera dan arkitek projek pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas yang runtuh malam tadi. – Gambar Facebook, 29 November, 2023.

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah mengeluarkan notis arahan berhenti kerja serta-merta kepada pemaju, jurutera dan arkitek projek pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas yang runtuh malam tadi.

Datuk Bandar MBPP A Rajendran berkata arahan itu dikeluarkan pagi tadi kepada pihak pemaju projek berkenaan di lokasi kejadian bagi memudahkan operasi menyelamat mangsa serta tugas siasatan pihak berkuasa.

“Kita sudah keluarkan notis berhenti kerja serta-merta pagi tadi kepada pemaju dan arkitek,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

Mengulas mengenai projek berkenaan, Rajendran berkata ia ialah projek fast track dan jadual pembinaannya berada di landasan yang betul.

“(Sebelum kejadian) kita beri kebenaran untuk projek ini beroperasi pada waktu malam kerana ia berada di luar kawasan perumahan,” katanya.

Sementara itu, Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz yang turut melawat lokasi mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak terlibat jika didapati ada kecuaian sehingga menyebabkan berlakunya insiden yang meragut nyawa itu.

“Saya berharap kejadian sebegini tidak akan berulang lagi pada masa depan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.58 malam tadi, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik yang dalam pembinaan itu runtuh.

Dua lagi mangsa dilaporkan parah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan, manakala empat lagi mangsa masih tertimbus.

Setakat 9 pagi ini, operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan oleh pihak bomba dan penyelamat dibantu agensi lain termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pegawai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut dilihat berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan. – Bernama, 29 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen