Mahkamah Ecuador perintah pulangkan tanah kumpulan Orang Asli


Siekopai adalah satu satu daripada 14 kumpulan Orang Asli yang diiktiraf di Ecuador. – Gambar EPA, 29 November, 2023.

MAHKAMAH Rayuan Ecuador memerintahkan tanah milik sekumpulan kecil Orang Asli di Amazon dipulangkan selepas lapan dekad permohonan mereka untuk tanah adat nenek moyang mereka dikembalikan.

Kumpulan itu, yang menggelar mereka sebagai negara Siekopai atau sebelum ini Secoya, hanya terdiri daripada kira-kira 800 orang.

Mahkamah memerintahkan kementerian alam sekitar mengeluarkan dokumen sah memulangkan tanah seluas 423 kaki persegi di hutan hujan itu yang terletak berhampiran sempadan Peru, kepada Siekopai dalam tempoh 45 hari.

Golongan tua Siekopai berkata kumpulan itu dihalau dari tanah airnya pada 1941 ketika perbalahan ketenteraan antara Ecuador dan Peru.

Selepas perbalahan itu selesai, negara mengklasifikasikan kawasan itu sebagai sebahagian kawasan rizab semulajadi Cuyabeno dan melarang kumpulan itu pulang ke situ.

Kumpulan itu berusaha berdekad-dekad, membuat tuntutan rasmi pada 2017 dan memfailkan saman pada 2023 mendesak dibenarkan kembali ke kawasan yang mereka panggil Pe’keya, di mana hari ini ia dikenali sebagai wilayah Sucumbios.

Perintah mahkamah yang dibacakan pada Jumaat lalu turut memerintahkan negara itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Siekopai.

Cara hidup kumpulan Orang Asli itu diuji selama berdekad dengan pencerobohan ladang getah, aktiviti penyebaran agama, penggalian minyak dan pengeluaran minyak sawit.

Tanah adat kumpulan itu adalah kawasan berselirat dengan lagun dan hutan banjir. Mekanisme untuk membolehkan mereka pulang ke Siekopai perlu diwujudkan bagi memastikan status alam sekitar wilayah itu dikekalkan, kata peguam.

Siekopai adalah satu satu daripada 14 kumpulan Orang Asli yang diiktiraf di Ecuador. – AFP, 29 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen