MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) akan mengeluarkan surat tawaran menunai haji kepada 900 bakal jemaah musim Haji 2024 (1445H).
Muis dalam laman sesawangnya menyebut pihaknya turut melantik lapan ejen perlancongan untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan haji kepada bakal jemaah bagi musim haji tahun depan.
Sejumlah 23 pakej yang diluluskan itu meliputi lapan pakej jangka pendek dengan tempoh penginapan tidak melebihi 19 hari dan 15 lagi merupakan pakej jangka panjang dengan setiap satu tidak melebihi 28 hari.
Pakej terendah berharga S$6,990 (empat orang sebilik) manakala pakej termahal pada S$23,395 (dua sebilik).
Secara purata Muis berkata harga pakej haji secara relatifnya masih sama seperti tahun lepas sebanyak S$11,595.
Semua harga pakej yang ditetapkan tidak termasuk tambang penerbangan dan perkhidmatan Masyair.
Jumlah kos penerbangan dan perkhidmatan Masyair dijangka antara S$6,000 dan S$8,000.
Muis berkata semua pakej meliputi penyediaan perkhidmatan perubatan di Tanah Suci (klinik medik yang diurus Pejabat Hal Ehwal Haji Singapura dan bantuan perubatan kecemasan). – Bernama, 29 November, 2023.
Komen