Lantikan ahli jawatankuasa khas rasuah manifestasi kerajaan banteras rasuah, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama lima Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah selepas menyampaikan watikah pelantikan di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar Facebook, 28 November, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan lima Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) hari ini sebagai manifestasi kerajaan Madani untuk terus beriltizam dengan segala usaha dan kudrat bagi membanteras gejala rasuah di negara ini.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berharap Ahli JKMR bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Oktober lepas hingga 8 Oktober 2026 itu dapat mengalas tanggungjawab besar yang diamanahkan dengan penuh adil, tawaduk dan saksama.

“Saya percaya Ahli JKMR Sesi 2023-2026 akan terus istiqamah dan beroleh hikmah untuk melaksanakan tugas memerangi gelaja rasuah yang kian membarah.

“Intiha penerimaan watikah ini, didoakan segala usaha murni kita ini mendapat keberkatan daripada-Nya,” menurut beliau dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan itu kepada Yang Dipertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku pengerusi JKMR, Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohd Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Ia disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan memaklumkan mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan peranan menasihati perdana menteri mengenai pelbagai aspek berhubung masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM. – Bernama, 28 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen