PIHAK berkuasa India menjangkakan “kejayaan” dalam usaha menyelamat seramai 41 pekerja yang terperangkap selama lebih dua minggu selepas sebuah terowong jalan raya di Himalaya runtuh.
Pegawai tinggi kerajaan di negeri Uttarakhand Pushkar Singh Dhami yang dipetik Agensi Anadolu pada Selasa berkata hampir 52 meter paip siap dibina dan dijangka memerlukan beberapa meter lagi untuk sampai ke lokasi mangsa terperangkap.
Operasi besar-besaran dilancarkan di daerah Uttarkashi di negeri itu pada 12 November selepas Terowong Silkyara yang sedang dalam pembinaan runtuh, memerangkap 41 pekerja.
Mangsa ketika ini bergantung sepenuhnya pada bekalan yang dihantar melalui paip.
Operasi menyelamat berdepan pelbagai kesukaran menyebabkan usaha itu mengalami kelewatan.
Menurut pegawai penyelamat, dianggarkan 60 meter runtuhan tanah perlu dibersihkan untuk memasukkan paip bagi menyelamatkan pekerja yang terperangkap.
Pihak berkuasa membawa masuk pelombong khas yang dikenali sebagai “pelombong tikus” yang mula menggerudi melalui batu dan kerikil secara manual pada petang Isnin.
Pelombong tikus yang menggerudi secara manual kebanyakannya di laluan sempit dan kebanyakannya bekerja di lombong.
Kerajaan India berkata garis masa menyelamat yang diberikan tertakluk kepada perubahan kerana masalah teknikal, bentuk muka dan isu kecemasan. – Bernama, 28 November, 2023.
Komen