Hospital A-Shifa di Gaza kembali beroperasi


Hospital Al-Shifa di Gaza kembali beroperasi selepas tentera Israel berundur itu pada 24 November setelah menawan kompleks perubatan itu selama 10 hari. – Gambar EPA, 28 November, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan di Gaza berjaya membuka semula jabatan dialisis di Hospital Al-Shifa di Gaza walaupun kemudahan itu rosak teruk dalam serbuan tentera Israel.

“Walaupun terdapat banyak kerosakan yang disebabkan oleh penceroboh (Israel) terhadap infrastruktur (hospital)... Kementerian Kesihatan berjaya membuka semula jabatan dialisis dengan usaha yang luar biasa,” menurut kenyataan Kementerian Kesihatan semalam, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian itu menggesa pesakit dialisis di Bandaraya Gaza dan kawasan-kawasan di utara wilayah terkepung berkenaan untuk mendapatkan rawatan perubatan di  Hospital Al-Shifa.

Tentera Israel berundur dari Hospital Al-Shifa pada 24 November selepas menawan kompleks perubatan itu selama 10 hari. Rejim Israel menuduh Hamas menggunakan hospital itu sebagai markas.

Semalam Qatar mengumumkan lanjutan jeda kemanusiaan selama dua hari lagi di Gaza. – Bernama, 28 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen