Saya tak halang, letak syarat ketat beri peruntukan wakil rakyat, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah halang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Anwar berkata beliau mahu peraturan dihormati iaitu ahli Parlimen pembangkang perlu melakukan rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof terlebih dahulu berhubung peruntukan pembangunan kawasan seperti kelaziman yang diamalkan dalam sistem demokrasi.

“Runding dahulu, saya tidak pernah meletakkan syarat atau prasyarat untuk menyokong perdana menteri… tak perlu ada syarat menyokong perdana menteri.

“Ada beberapa peraturan (runding soal peruntukan dengan kerajaan) yang dilakukan dalam mesyuarat yang lalu (ketika Pakatan Harapan menjadi pembangkang).

“Saya kadang-kadang) aneh, wakil (kerajaan terdahulu) yang berundingan dulu kini di sebelah sana (pembangkang)… dia tahu prosesnya berapa kali berunding, tapi sekarang macam tak tahu langsung,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata sehingga kini belum ada rundingan secara rasmi berhubung peruntukan itu dilakukan oleh blok pembangkang.

“Justeru saya tegaskan YB Arau, soal peruntukan tak usah dipanjangkan… runding dengan baik dan selesaikan, tiada syarat ketat.

“Saya dengar kempen-kempen (pembangkang) maki hamun saya, (tuduh) perdana menteri tak guna, minta sokong baru beri peruntukan… saya tak pernah sebut begitu,” katanya.

Anwar menyifatkan tidak munasabah jika pembangkang enggan mengadakan rundingan sedangkan mereka sendiri mahukan adanya semangat kerajaan-pembangkang yang demokrasi.

Anwar turut menempelak kenyataan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika mengajukan soalan tambahan yang mendakwa ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong perdana menteri untuk mendapatkan peruntukan.

Ini selepas seorang lagi ahli Parlimen pembangkang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengumumkan sokongan kepada Anwar ketika sidang Dewan Rakyat.

Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan perdana menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Anwar berkata ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, tiada peruntukan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Masa mereka (pembangkang) perintah (jadi kerajaan) harta Melayu mereka sakau banyak… ini kenyataan. Tiga tahun kamu dalam kerajaan, (bekas) menteri ada di sana (blok pembangkang), apa peruntukan yang diberi kepada orang lain dan pembangkang ketika itu? Mengapa dulu tak beri?” soalnya.

Menjawab soalan Takiyuddin mengenai isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang didakwa bertentangan dengan janji digariskan dalam dokumen tawaran manifesto PH pada pilihan raya umum lepas, Anwar berkata beliau masih berpegang kepada prinsip peruntukan yang adil.

“Ya betul (soal peruntukan adil kepada semua wakil rakyat) dalam dokumen Harapan, sebab itu saya patuh kepada keputusan (peruntukan adil)… setakat yang saya bincang dengan timbalan perdana menteri (Fadillah) tak pernah kata wajib sokong perdana menteri untuk dapat peruntukan.

“Ini bincang pun tidak tapi sombong bukan main…saya (dulu) sebagai ketua pembangkang, bila dipanggil jumpa, saya hadir. Sikap (pembangkang) itu mesti reciprocal (timbal balik),” katanya. – Bernama, 28 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen