Usaha akhiri perang Israel-Palestin, Blinken ke Gaza lagi


Setiausaha Negara AS Antony Blinken akan melakukan lawatan ketiganya ke Asia Barat minggu ini, kata seorang pegawai AS semalam. – Gambar EPA, 28 November, 2023.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken akan melakukan lawatan ketiganya ke Asia Barat minggu ini, kata seorang pegawai AS semalam, sejurus selepas pemberhentian perang dilanjutkan dua hari lagi.

Beliau juga dilaporkan akan ke Dubai minggu ini untuk mewakili AS pada Sidang Kemuncak Iklim COP28, menggantikan Presiden AS Joe Biden yang hadir dua tahun sebelumnya untuk menonjolkan kepimpinan negara itu.

Seorang pegawai kanan AS memaklumkan, Blinken tiba di Brussels terlebih dulu bagi menghadiri mesyuarat bersama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Diplomat tertinggi AS itu kemudian akan bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Tel Aviv dan Presiden Palestin Mahmud Abbas di Ramallah.

“Dalam pertemuannya di Asia Barat, Blinken akan menekankan keperluan untuk meneruskan peningkatan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza, menjamin pembebasan semua tebusan dan meningkatkan perlindungan orang awam di Gaza.

“Blinken akan berbincang dengan rakan kongsi di rantau ini mengenai prinsip yang beliau mahu bentangkan untuk masa depan Gaza dan keperluan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” kata pegawai itu.

Lawatan itu dibuat ketika negara pengantara, Qatar mengumumkan lanjutan 48 jam pemberhentian perang antara Israel dan Hamas, sekali gus membuka jalan bagi pembebasan tebusan seterusnya serta penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza.

Sehingga kini, Israel tidak mengeluarkan apa-apa pengesahan mengenai tempoh perlanjutan gencatan itu, namun regim Zionis itu sebelum ini berikrar meneruskan perjuangannya sehingga Hamas dimusnahkan.

AS juga mendesak Israel bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Palestin dan mengehadkan atau mengawal penceroboh Yahudi daripada menyerang rakyat Palestin di Tebing Barat.

Namun tidak banyak harapan ada kejayaan akan dicapai kerana Netanyahu sekian lama menjadi pengkritik tegar Abbas dan menentang penyelesaian dua negara. – AFP, 28 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen