Ahli Parlimen Bukit Gantang isytihar sokong Anwar


Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari ini isytihar sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan. – Gambar Facebook, 28 November, 2023.

AHLI Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari ini secara terbuka di Dewan Rakyat mengisytihar menyokong Anwar Ibrahim dan kerajaan madani.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan perdana menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Terdahulu, Syed Abu Hussin mengemukakan soalan tambahan kepada perdana menteri ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri berhubung kesediaan Anwar untuk menyambut ahli Parlimen yang mempunyai pengalaman, kepakaran dan kebolehan untuk membantu membangunkan rakyat sekali gus ekonomi negara.

“Saya sendiri bersedia untuk memberi dan membantu kerajaan mewujudkan masyarakat madani menangani kenaikan harga barang dan kos sara hidup dengan mengambil ibrah Nabi Yusuf A.S.

“Dengan ini, Bukit Gantang mengisytiharkan menyokong Yang Amat Berhormat Tambun sebagai perdana menteri ke-10 dan gagasan kerajaan madani,” katanya.

Beliau sebelum itu turut mengajak bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) dan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) untuk membantu pembinaan masyarakat madani.

“Dalam keadaan politik negara yang tidak stabil ini, bagaimanakah kerajaan nak menguruskan ekonomi, harga barang terus naik, kos sara hidup makin tinggi.

“Oleh itu demi negara yang tercinta saya meminta Tambun, Pagoh dan Bera buang yang keruh dan ambil yang jernih, marilah Pagoh dan Bera sebagai bekas perdana menteri bersama Tambun membina masyarakat madani.

“Kepada ahli Parlimen pembangkang pula, marilah kita berunding sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan sebagaimana persefahaman semasa Yang Berhormat Bera menjadi perdana menteri,” katanya. – Bernama, 28 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen